
Menteri pelancongan dan kebudayaan itu bagaimanapun berkata, cukai itu hanya dikenakan ke atas syarikat atau pemilik rumah yang menawarkan penginapan melebihi 5 bilik.
“Kalau 5 bilik ke bawah, kita tidak anggap dia sebagai satu perniagaan. Itu ‘side income’…kalau lebih 5 pondok saya akan cari.
“Kalau Airbnb itu jual lebih daripada 5 bilik dikendalikan 1 syarikat, dia kena bayar apa yang dikatakan cukai. Kita iktiraf dia sebagai tempat penginapan sekarang ini,” katanya dalam penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Industri Pelancongan (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, cukai berkenaan akan dikutip kementeriannya, jika pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengiktiraf perkhidmatan Airbnb di kawasan masing-masing.
“Di peringkat negeri kita mengutip cukai, sekalipun katalah pihak berkuasa tempatan tidak mengiktiraf mereka, tapi cukai pelancongan satu hal yang lain.
“PBT ada undang-undang mereka sendiri. Mungkin ada sebab kenapa mereka tidak iktiraf Airbnb. Kita iktiraf dia untuk kita kutip duit. Kalau saya tak cukai Airbnb negeri berkenaan, saya tak berlaku adil.
“Pengeluaran lesen itu PBT punya hal. Sepatutnya kalau PBT tak iktiraf Airbnb, tutup terus jangan bagi dia berniaga,” katanya.