
Isteri perdana menteri itu berkata, walaupun beliau tidak sihat kerana menghadiri pelbagai program dan mengiringi Najib keluar negara atas urusan rasmi, beliau tetap diminta menggantikan suaminya.
“Saya tidak seharusnya ada di sini. Saya dimaklumkan jemputan program ini adalah untuk perdana menteri, yang secara kebetulan suami saya. Tetapi, beliau terpaksa menghadiri satu mesyuarat penting.
“Jadi, beliau (Najib) memerintahkan saya untuk hadir ke program ini. Jadi, sesiapa kata saya kawal datuk adalah tidak betul, datuk yang kawal saya. Walaupun saya maklumkan kepada beliau yang saya tidak berapa sihat.
“Dia (Najib) kata kepada saya, tidak kira awak batuk atau demam, awak pergi saja dan saya, kini (berucap) di depan hadirin,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Sepetang Bersama Pengusaha Produk Kesihatan dan Kecantikan Buatan Tempatan di Hotel Seri Pacific, hari ini.
Rosmah berkata, bukan mudah menjadi wanita pertama Malaysia, apatah lagi isteri kepada perdana menteri memandangkan masyarakat tidak memahami pelbagai cabaran dihadapinya.
“Ingat senang hendak jadi isteri kepada seorang pemimpin. Apapun kena alami pelbagai dugaan.
“Kalau tadi saya terlambat, saya mohon maaf. Saya kena makan ubat untuk meredakan batuk. Saya sudah lama tidak kena batuk dan demam.”
Sementara itu, katanya, bukan sahaja wanita yang mementingkan kecantikan, lelaki juga sama.
“Di pasaran, macam-macam jenis kosmetik untuk lelaki dekat iklan.
“Bukan sahaja perempuan nak cantik, lelaki pun nak ‘handsome’. Tetapi, saya tidak faham kenapa lelaki nak ‘handsome’. Kita suka orang macho, kita bukan suka yang kulit lembut.”