Hishammuddin: Malaysia-China tidak pernah bincang bina pusat perisikan wilayah

Hishammuddin: Malaysia-China tidak pernah bincang bina pusat perisikan wilayah

Malaysia tiada rancangan untuk membina Pusat Tindak Balas Perisikan Wilayah di Johor seperti yang didakwa akhbar Singapura.

hishamuddin-malaysia-china-spy
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Malaysia dan China tdak pernah berbincang membina Pusat Tindak Balas Perisikan Wilayah di Johor dan tiada hasrat membina pusat berkenaan.

Menteri Pertahanan berkata demikian menjawab Khalid Samad (Amanah-Shah Alam) yang meminta pendirian kerajaan mengenai tawaran China mengadakan pusat itu.

“Perkara ini tiada dalam pengetahuan pihak kementerian malah ia tidak pernah dibincangkan dalam sebarang forum dan kementerian tidak berhasrat untuk membina pusat yang sedemikan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Ogos lalu, akhbar Singapura, Straits Times (ST), memetik sumber kerajaan melaporkan Putrajaya akan mempertimbangkan cadangan Beijing untuk mengadakan pusat itu di Johor, dilengkapi radar pengawasan dan sistem peluru berpandu, dipercayai sistem pelancar roket berganda (MLRS) Norinco AR3 buatan China.

Sumber kerajaan itu mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan memberikan kata putus mengenai tawaran itu apabila beliau bertemu Presiden China Xi Jinping, yang kononnya akan berkunjung ke Malaysia bulan ini.

Amanah sebelum ini mendakwa Malaysia akan terheret ke kancah konflik antara kuasa besar dunia sekiranya menerima tawaran itu.

Timbalan Presiden Salahuddin Ayub khuatir tawaran itu sekiranya diterima akan mengalakkan aktiviti China di Laut China Selatan, terutamanya di Kepulauan Spratly.

China menuntut hampir keseluruhan kawasan Laut China Selatan yang yang dituntut atau dalam perairan Malaysia, Indonesia, Vietnam, Filipina, Brunei dan Taiwan.

“Laporan Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) menyatakan bahawa China hampir menyiapkan lebih 20 struktur bangunan di 7 pulau buatan di lokasi yang menjadi perebutan di sekitar Laut China Selatan,” katanya.

Pulau buatan itu dilaporkan dilengkapi kemudahan untuk atur gerak pelancar peluru berpandu dan pesawat pejuang.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.