ECRL akan ‘break even’ pada 2032, kata Putrajaya

ECRL akan ‘break even’ pada 2032, kata Putrajaya

Timbalan Menteri Kewangan Othman Aziz berkata hasil yang akan diperoleh dijangkakan sehingga RM2.9 bilion.

ECRL_09
KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan mendapat perolehan pada 2024, dan akan mula mendapatkan pulangan modal 8 tahun kemudian.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz berkata, hasil yang akan diperoleh dijangkakan sehingga RM2.9 bilion, hasil daripada tambang penumpang, kargo dan pendapatan bukan tambang.

“Kerajaan menjangkakan bermula 2032, syarikat mampu ‘break even’ dari segi operasi dan boleh berdikari tanpa suntikan dana kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Dr Ewon Ebin (BN-Ranau) yang bertanyakan mengenai unjuran pendapatan negara hasil daripada pelaksanaan projek ECRL dan sama ada ia mencukupi untuk membayar balik pinjaman pembiayaan projek tersebut.

Ewon juga bertanyakan jumlah pekerjaan yang bakal diwujudkan.

Othman berkata berdasarkan kajian yang dilaksanakan, ECRL bakal mewujudkan peluang pekerjaan kepada 300 orang dan untuk sektor pembinaan ECRL sahaja memerlukan 10,000 pekerja yang kebanyakan warga tempatan.

“Semasa operasi Malaysian Rail Link (MRL), dijangka mengambil sehingga 3,600 pekerja mahir melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi.

“Peluang pekerjaan secara tak langsung hasil kemajuan projek ialah lebih 200,000 orang. Ia akan memberi ruang kepada penduduk pantai timur terlibat.

“Juga pelbagai inisiatif lain bagi memastikan sektor tempatan boleh memenuhi keperluan industri,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.