Dakwaan Bung tidak benar, kata pegawai kanan AirAsia

Dakwaan Bung tidak benar, kata pegawai kanan AirAsia

Menurut ketua pegawai eksekutifnya, AirAsia amalkan dasar terbuka dan mengalukan mana-mana ahli parlimen yang mahu bekerjasama membangunkan lagi dan mengembangkan industri pelancongan.

aireen-omar_buang-moktar_airasia_600
KUALA LUMPUR:
Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd, menjelaskan dakwaan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin, adalah tidak benar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar, dalam satu kenyataan berkata syarikat penerbangan tersebut sentiasa berusaha menawarkan tambang rendah dan ini termasuk bagi perkhidmatan penerbangan laluan Kuala Lumpur-Sandakan.

“Dakwaan penerbangan sehala berharga RM2,000 sama sekali tidak benar kerana tambang purata adalah RM213.

“Malahan semasa musim kemuncak, apabila AirAsia beroperasi dengan faktor muatan 100%, tambang paling tinggi kami kira-kira RM1,180, yang mana masih merupakan paling rendah dalam pasaran,” katanya.

Aireen berkata tidak ada sebarang ”caj tersembunyi” seperti didakwa oleh ahli parlimen itu kerana penumpang AirAsia mempunyai pilihan untuk memilih bagaimana mereka mahukan penerbangan dan apa produk mereka mahu bayar. Semua bayaran dan caj dinyatakan dengan jelas di laman web dan aplikasi mudah alih.

“Dalam semangat ‘prihatin kepada kebajikan rakyat’, kami ingin mempelawa beliau (ahli parlimen berkenaan) meneliti semula perbezaan dalam kemudahan dan perkhidmatan antara terminal lapangan terbang di Malaysia dan melihat pandangan dan maklum balas pelanggan.

“Rakyat di Sandakan terpaksa membayar cukai lapangan terbang yang sama seperti penumpang yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi perkhidmatan yang jauh lebih rendah,” katanya.

Aireen berkata AirAsia mengamalkan dasar terbuka dan mengalu-alukan mana-mana ahli parlimen yang mahu bekerjasama membangunkan lagi dan mengembangkan industri pelancongan.

“Kami juga mempelawa mereka bertemu dengan kami untuk mengadakan dialog yang membina dan memberikan kami peluang untuk menjelaskan model perniagaan kos rendah kami dan sumbangannya kepada industri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.