Tony Fernandes harus lebih matang, kata Bung Moktar

Tony Fernandes harus lebih matang, kata Bung Moktar

Ahli Parlimen Umno itu berkata beliau hanya menjalankan tugas sebagai wakil rakyat untuk menyuarakan aduan terhadap syarikat penerbangan tambang murah itu.

Bung-Moktar_Tony-Fernandes_600
PETALING JAYA: Tony Fernandes patut lebih matang dan mengambil kira pendapat orang lain, terutamanya apabila ianya untuk penambahbaikan AirAsia, kata Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Datuk Bung Moktar Radin.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata aduan dibuat beliau terhadap AirAsia di Dewan Rakyat pada Selasa didorong oleh kebimbangan untuk “kebajikan rakyat”.

Beliau dilaporkan mengadu AirAsia terlalu menumpukan perhatian mengenakan “caj tersembunyi”, tetapi tidak beroperasi sebagai penerbangan tambang murah sebagaimana yang dipromosikan dalam publisitinya.

“Beliau (Fernandes) patut mengambil kira apa yang saya katakan, dan apa model perniagaan sebenar AirAsia.

“Menurut mereka, AirAsia memenuhi pasaran kos murah, jadi, pastikan ianya kos murah. Jangan hanya kata ianya kos murah sedangkan mempunyai agenda tersembunyi,” katanya ketika dihubungi hari ini

Kenyataan Bung di Dewan Rakyat itu tidak diterima baik oleh Fernandes.

Ketua pegawai eksekutif AirAsia Group itu mengkritik sikap sesetengah Ahli Parlimen “tidak pernah berhenti mengadu” walaupun AirAsia berkhidmat untuk rakyat Sabah dan Sarawak.

Fernandes menyoal mengapa “Ahli Parlimen yang sama” tidak membuat aduan tentang “kenaikan caj sebanyak 100% oleh lapangan terbang Malaysia ke atas penumpang kali pertama”.

Menurut Bung, kebimbangan tentang caj lapangan terbang semakin naik sudah pun disuarakan di Dewan Rakyat oleh rakannya, Ahli Parlimen BN Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing.

“Kebimbangan saya adalah untuk kebaikan rakyat. Contohnya, perkhidmatan kaunter lapangan terbang yang tidak bertimbang rasa atas kesusahan orang lain,” kata Bung.

“Contohnya, AirAsia tidak menerima penumpang yang hanya lewat 10 minit dan meminta mereka membeli tiket baharu.

“Di Amerika Syarikat dan United Kingdom, syarikat penerbangan akan cuba aturkan supaya penumpang dapat menaiki penerbangan seterusnya.

“AirAsia adalah syarikat penerbangan tambang murah untuk mereka yang tidak berkemampuan. Perkara ini patut diambil kira oleh syarikat penerbangan itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.