‘Saya menangis kerana gagal bangkit masalah rakyat’, kata Nozula

‘Saya menangis kerana gagal bangkit masalah rakyat’, kata Nozula

Ketua pembangkang Kelantan itu terlalu sensitif apabila tidak diberi peluang berucap.

Nozula-Mat-Diah-rakyat-kelantan
PETALING JAYA: Ketua Pembangkang DUN Kelantan Datuk Nozula Mat Diah berkata tangisannya selepas diarahkan keluar daripada persidangan semalam bukanlah lakonan.

Nozula sebaliknya berkata, keputusan Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub itu menyebabkan beliau tidak dapat membangkitkan masalah rakyat ketika sesi perbahasan Bajet 2018 Kelantan.

“Banyak persoalan rakyat yang hendak diberitahu tidak tercapai, saya terlalu sensitif bila tidak diberi berucap.

“Saya ‘senior’ dan ini persidangan bajet yang terakhir,” kata Nozula kepada FMT.

Semalam kira-kira pukul 11.20 pagi Nozula diarah keluar persidangan selepas ingkar arahan Speaker DUN Datuk Abdullah Ya’kub.

Abdullah membuat keputusan itu apabila Nozula bertegas ingin membahaskan Bajet 2018 yang dibentangkan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob Isnin lepas, walaupun semalam dijadualkan untuk sesi penggulungan.

Timbalan Speaker DUN Kelantan Abdul Latiff Abdul Rahman kemudian membuat kenyataan bahawa tangisan Nozula hanyalah lakonan semata-mata.

Beliau berkata, Nozula tidak pernah bangun untuk berbahas ketika sesi perbahasan Bajet 2018 Kelantan sehingga tamat sesi berkenaan kecuali hanya mencelah tanpa kebenaran.

“Ataupun ini adalah lakonan air mata Paloh untuk menghentam pihak kerajaan pada ceramah selepas sidang DUN nanti atau memang sengaja kerana mahu pulang awal,” katanya.

Susulan itu, 12 Adun Barisan Nasional (BN) sepakat untuk memboikot persidangan DUN Kelantan akan datang sebagai tanda protes terhadap pengusiran Nozula.

Setiausaha BN Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad yang mewakili 12 Adun BN itu berkata, keputusan berkenaan dicapai berikutan tindakan speaker DUN mengusir Nozula.

“Walaupun Nozula masih belum pulih sepenuhnya daripada serangan angin ahmar, (namun) beliau tetap gagahkan diri hadir ke dewan demi menyampaikan suara rakyat yang diwakilinya.

“Tindakan speaker tidak bertolak ansur dan mempertimbangkan keadaan kesihatannya serta bertegas mengusir beliau dari dewan tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Air mata ketua pembangkang Kelantan hanya ‘lakonan’, kata timbalan speaker

Ketua pembangkang Kelantan diarah keluar dewan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.