
Malah, pengerusinya, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata masyarakat tidak perlu bimbang dengan kenaikan harga sayuran jenis berdaun kerana pihaknya sentiasa mempunyai bekalan tersebut dan ia akan dihantar segera ke gerai Fama di kawasan terjejas bagi mengelak bekalan terputus.
“Harga sayuran jenis berdaun seperti sawi, bayam dan sebagainya yang didakwa meningkat sebanyak 30% akibat kawasan penanaman ditenggelami air hanya bersifat sementara.
“Ia dijangka kembali ke paras asal dalam sebulan, bergantung kepada keadaan cuaca di kawasan utara tanahair,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 23 petugas Fama yang terjejas teruk akibat banjir di Pulau Pinang dan Kedah hari ini.
Katanya, bantuan sebanyak RM500 seorang itu diagih kepada 13 anggota pencarum Tabung Bencana Fama manakala RM400 setiap seorang kepada 10 anggota bukan pencarum Tabung Bencana Fama yang terjejas di sekitar Bukit Mertajam, Sungai Dua dan Kulim di Kedah.
“Bantuan itu dalam bentuk kewangan dan barang keperluan dapur dengan harapan dapat meringankan sedikit sebanyak beban terpaksa ditanggung kakitangan terlibat,” katanya.
Selain itu, Fama turut membantu 26 peserta di bawah Program Ladang Kontrak yang tanaman dan ladang mereka turut terjejas akibat banjir melibatkan anggaran kemusnahan sebanyak RM62,500.
Tanaman diusahakan oleh peserta di bawah program itu yang dilaporkan terjejas teruk ialah tanaman jagung, labu, timun, peria, bendi, limau kasturi, dan cili dengan majoritinya di kawasan Seberang Perai Tengah.