
Kumpulan itu menjawab dakwaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki di Dewan Rakyat mengatakan ateisme tiada tempat di Malaysia.
Bebas berkata, dakwaan Asyraf mengatakan ateism menyalahi perlembagaan, satu jenayah dan satu ideologi “sangat berbahaya” adalah tidak berasas dan tidak rasional.
“Ia memberi maksud rakyat di negara ini harus menganut satu agama, jika tidak mereka mungkin didakwa.
“Penafsiran selektif Perlembagaan Persekutuan itu yang hanya menjamin kebebasan untuk beragama tetapi bukan kebebasan untuk tidak mempunyai kepercayaan, adalah menggalakkan kezaliman agama di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Asyraf juga dikecam kerana mengancam untuk menggunakan undang-undang syariah, sivil dan juga alat keselamatan negara seperti Akta Hasutan, terhadap mereka yang mengamalkan ateisme.
Sambil menggesa Asyraf untuk “berhenti memomokkan golongan minoriti dan menyebarkan maklumat salah”, ia juga berkata golongan ateis kebanyakannya hidup secara beretika kerana mendokong prinsip mereka.
“Mereka menerima perbezaan pendapat dan mereka tidak takut untuk berdebat.
“Secara umumnya, golongan ateis mahu dibiarkan dan tidak dipaksa untuk mempercayai sebarang agama. Mereka patut diterima sebagaimana mereka yang menganut sesuatu agama.”
Ini bukan pertama kali ateisme menjadi topik hangat di Malaysia. Pada Ogos, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim memberi amaran tentang sekumpulan rakyat Malaysia yang menjadi sebahagian kumpulan “Atheist Republic”, ekoran ancaman terhadap mereka di media sosial.
Kemudian Asyraf berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk menyiasat kumpulan Atheist Republic untuk memeriksa jika terdapat mana-mana orang Islam yang terlibat.
“Kita perlu menentukan sama ada mana-mana orang Islam menyertai perhimpunan itu dan sama ada mereka terlibat dalam menyebarkan pandangan sebegitu yang boleh merosakkan aqidah mereka,” katanya semasa dihubungi Reuters.
Menurut Asyraf, mana-mana orang Islam didapati terlibat dalam kumpulan itu akan dihantar untuk kaunseling, sementara itu cubaan menyebarkan idea ateisme boleh didakwa bawah undang-undang sedia ada.
Bagaimanapun, Bebas mempertikaikan dakwaan mengatakan ateisme menyerang agama lain dan akan melanggar undang-undang ketenteraman awam.
“Golongan ateis bukan satu ancaman. Mereka adalah ahli keluarga anda, doktor dan jururawat, guru, rakan sekerja, dan jiran.
“Mereka sepatutnya berhak mempercayai apa sahaja yang mereka rasakan terbaik untuk mereka. Apa pun, sepatutnya tiada paksaan dalam agama,” kata Bebas.