Saya bukan hina, tetapi pertahan hak wanita, kata Bung Moktar

Saya bukan hina, tetapi pertahan hak wanita, kata Bung Moktar

Bung Moktar menasihatkan Nurul Izzah Anwar, Teresa Kok dan Ahli Zuraida Kamaruddin supaya bijak berpolitik dan tidak memainkan politik jalanan.

bung-mokhtar
PETALING JAYA: Wakil rakyat Barisan Nasional, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyangkal dakwaan beberapa ahli Parlimen wanita Pakatan Harapan kononnya beliau menghina golongan itu ketika mempertahankan hak pekerja hotel bertudung.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu mempertahankan kenyataan “Kalau pun dia tidak cantik, telanjang pun, siapa tak mahu” yang dilaporkan Malaysiakini sebagai cara beliau berhujah dan tidak berniat menghina wanita.

Beliau berkata, kenyataannya disalah ertikan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

“Beberapa ahli Parlimen wanita pembangkang memandang sinis hujah saya di Dewan Rakyat semalam.

“Saya berhujah untuk mempertahankan hak dan tuntutan membela kaum hawa dan tidak terlintas langsung nak menghina mana-mana wanita.

“Menteri pelancongan (dan kebudayaan) pun tanya mana lebih elok, perempuan pakai tudung atau perempuan telanjang di hadapan kaunter? Ahli Parlimen Lembah Pantai, Seputeh dan Ampang harus bijak dalam berpolitik, jangan main politik tepi jalan,” katanya kepada FMT hari ini.

Bung Moktar berkata demikian selepas Izzah, Kok dan Zuraida membidaskan penggunaan perkataan “telanjang” olehnya sebagai seksis, menjijikkan dan keji.

Semalam, Bung Moktar ketika berucap di Dewan Rakyat berkata, kecantikan seseorang tidak mempunyai kaitan dengan penampilannya.

“Apa masalah pakai tudung? Kalau dia perempuan cantik, walaupun pakai tudung, tetap cantik juga.

“Kalau pun dia tidak cantik, telanjang pun, siapa tak mahu,” katanya dipetik Malaysiakini sebagai mengulas isu hotel melarang pekerja kaunter depan bertudung.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, beliau hanya mahu mengingatkan pengusaha hotel tidak terlalu mengejar keuntungan sehingga sanggup mendiskriminasi hak wanita.

“Saya mahu mereka memberi perhatian terhadap maksud dan tujuan saya. Jangan cuba meraih keuntungan dalam perkataan yang terhujah, kita semua sudah matang dalam politik, pesanan saya jangan sesekali cuba menanguk di air keruh.

“Saya tidak kisah apa pendangan mereka (Izzah, Teresa, Zuraida) terhadap hujah saya. Saya harap mereka membela wanita, nampak sekali mereka berdiam diri dan memilih untuk membela pemilik hotel yang menindas wanita,” katanya.

Semalam, ahli Majlis Tertinggi Umno itu menggesa pengusaha hotel yang enggan mematuhi undang-undang Malaysia supaya “berambus” dari negara ini.

Baru-baru ini, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mendedahkan ramai kakitangan hotel mengadu diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarahkan menanggalkan tudung.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mengakui perkara itu dan mempertahankan larangan berkenaan yang didakwa sebahagian polisi antarabangsa, bukannya diskriminasi.

 

‘Berambus dari negara ini’, Bung Moktar selar hotel larang pekerja bertudung

MPs slam Bung for nudity remark when defending women in hijab

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.