Menteri, Mavcom bincang dakwaan Air Asia kenakan caj tidak berpatutan

Menteri, Mavcom bincang dakwaan Air Asia kenakan caj tidak berpatutan

Ab Aziz Kaprawi berkata Surunjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) akan bertindak sekiranya dakwaan Air Asia mengenakan caj tidak berpatutan terbukti benar.

ab-aziz-kaprawi-air-asia
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) akan bertindak terhadap syarikat penerbangan Air Asia sekiranya dakwaan mengenakan caj tidak berpatutan terbukti benar, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Beliau berkata kementerian dan Mavcom sudah membincangkan dakwaan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) di Parlimen petang tadi.

“Saya sudah bincang dengan Mavcom untuk ambil tindakan sewajarnya supaya tidak berlaku pencatutan,” kata Aziz, merujuk kepada aktiviti menjual sesuatu dengan mengambil untung yang melampau.

“Pencatutan akan menjejaskan masyarakat,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2018 untuk Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Bung mendakwa Air Asia mengenakan caj yang mahal untuk penerbangan dari Sandakan ke Kuala Lumpur. Beliau juga mendakwa syarikat itu akan meminta penumpang yang terlewat 10 minit membeli tiket baru.

“Ini berlaku di depan mata saya, banyak orang kampung menangis kerana tidak ada duit hendak beli tiket baru,” kata Bung.

Aziz bagaimanapun mempersoalkan dakwaan harga tiket sehala RM2,000 untuk penerbangan Sandakan ke Kuala Lumpur.

“Ada ke RM2,000, Yang Berhormat?” soalnya.

Aziz berkata, Mavcom sedang meminda Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) bagi melindungi kepentingan pengguna daripada caj tidak berpatutan.

“Masalah ini akan saya panjangkan kepada Mavcom untuk diambil tindakan sesuai supaya tidak berlaku penindasan kepada pengguna seperti lewat 10 minit kena beli tiket baru,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.