
Novanto yang memakai baju berwarna oren yang biasanya dipakai oleh tahanan Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK) dipindahkan dari hospital malam tadi ke pusat tahanan KPK di Jakarta.
Beliau antara ahli politik paling lama berkhidmat yang ditahan oleh KPK.
Novanto ditangkap Jumaat lalu tetapi KPK berkata pihaknya menangguh penangkapan itu kerana sehingga beliau selesai menerima rawatan atas kecederaan yang disebabkan kemalangan kereta sehari sebelum itu.
Timbalan Ketua KPK Laode Muhammad Syarif, dalam satu video disiarkan oleh laman rasmi agensi itu, Periscope, berkata kenyataan doktor menunjukkan Novanto tidak lagi memerlukan rawatan di hospital, “jadi menurut prosedur standard, penangguhan penangkapan itu sudah tidak diperlukan lagi”.
Dalam komennya kepada pemberita malam tadi, Novanto berkata beliau masih berasa pening selepas kemalangan itu yang menyebabkan kecederaan pada kaki, lengan dan kepalanya.
“Saya tidak menjangka ini untuk berlaku malam ini. Saya fikir saya akan diberikan masa untuk pulih, tetapi saya patuhi undang-undang,” kata Novanto seperti dipetik oleh kumparan.com.
Pegawai KPK cuba menangkap Novanto di rumahnya di Jakarta pada lewat hari Rabu. Novanto juga adalah pengerusi Golkar, parti kedua terbesar di Indonesia dan komponen dalam gabungan pemerintah.
Tetapi penyiasat yang dirakam kamera televisyen, gagal menemui beliau, lalu mencetuskan spekulasi mengatakan beliau telah bersembunyi.
Kemudiannya, Novanto terlibat dalam kemalangan jalan raya dan peguamnya Fredrich Yunadi berkata, seorang pemberita sedang memandu kenderaan itu dan menemu bual anak guamnya pada waktu kemalangan.
Novanto menafikan salah laku tetapi sudah berulang kali gagal menampilkan diri apabila dipanggil KPK untuk disoal pada beberapa bulan kebelakangan ini.
Novanto memberi alasan beliau tidak sihat dan perlu menjalani pembedahan jantung.
KPK sedang menyiasat kerugian negara bernilai lebih kurang AS$170 juta (RM706.61 juta) yang dikaitkan dengan skim kad pengenalan elektronik selepas dakwaan mengatakan jumlah antara AS$5,000 (RM20,800) hingga AS$5.5 juta (RM22.86 juta) yang dikeluarkan dengan menaikkan kos pemerolehan dan kemudiannya dibahagikan dalam kalangan ahli politik di Parlimen.