60 pelajar kolej vokasional keracunan makanan

60 pelajar kolej vokasional keracunan makanan

Hidangan 'shell out' terdiri daripada kupang, udang dan ketam yang disertakan dengan sambal dipercayai punca pelajar mengalami keracunan.

food_poisoning_600
MUAR:
Seramai 60 pelajar Kolej Vokasional Muar, di sini yang mengalami muntah-muntah dan cirit birit sejak semalam dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), akibat keracunan makanan.

Pengarah HPSF Dr Selahuddeen Abdul Aziz berkata mereka dibawa ke hospital itu kira-kira 10.00 malam tadi dan 2 pelajar iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan terpaksa ditahan untuk rawatan lanjut.

“Dua pelajar lingkungan 17 hingga 18 tahun itu ketika ini berada dalam keadaan stabil dan punca keracunan sedang disiasat oleh Jabatan Kesihatan negeri,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya difahamkan, pelajar terbabit mengalami keracunan makanan selepas menghadiri majlis makan malam tahunan di kolej tersebut pada Sabtu lepas.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata hidangan ”shell out”, terdiri daripada kupang, udang dan ketam yang disertakan dengan sambal dipercayai punca pelajar mengalami keracunan.

Siasatan awal mendapati, 380 pelajar dan guru terdedah kepada keracunan, namun hanya kira-kira 100 pelajar terlibat manakala selebihnya berada dalam keadaan terkawal.

Ayob dalam kenyataan di sini berkata makanan tersebut, disediakan oleh dapur asrama kolej itu dan pihaknya turut mengarahkan penutupan dapur berkenaan selama 3 hari hingga esok bagi tujuan siasatan.

Katanya hingga kini, masih ada pelajar yang mengadu sakit perut dan mereka dinasihatkan menjaga kebersihan diri terutama selepas ke tandas.

“Mereka perlu memastikan pengambilan oral (garam mineral) mencukupi bagi mengembalikan hidrasi tubuh dan pengendali makanan juga dinasihatkan menyediakan makanan secara bersih,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.