Kabinet arah beku pembinaan hartanah lebih RM1 juta

Kabinet arah beku pembinaan hartanah lebih RM1 juta

Menteri Kewangan II, Johari Abdul Ghani Johari memberi jaminan projek perumahan berharga RM300,000 ke bawah akan diteruskan.

johari-bnm2
PETALING JAYA: Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengesahkan Kabinet mengarahkan pengeluaran permit dibekukan kepada pemaju yang hendak membina pusat beli-belah, bangunan komersial dan kondominium berharga RM1 juta ke atas, berkuat kuasa 1 November lalu.

Beliau dipetik Sin Chew Daily sebagai berkata, langkah itu hanya untuk sementara waktu bagi menghabiskan bekalan berlebihan.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan tempoh tertentu kerana keperluan hartanah di setiap negeri berbeza.

“Kami faham sekarang ‘bekalan’ banyak, jadi kami akan uruskan (jual) semuanya baru mengkaji semula strategi pembangunan supaya tidak mendatangkan kesan kepada ekonomi negara.

“Ia bergantung kepada keperluan setiap negeri, jika ada sesetengah negeri yang mempunyai keperluan terhadap hartanah, kami akan buka semula (mengeluarkan permit pembangunan),” katanya selepas menyerahkan sumbangan keperluan persekolahan kepada 1,000 pelajar pada program Kembali ke Sekolah anjuran PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini.

Johari memberi jaminan projek perumahan berharga RM300,000 ke bawah akan diteruskan.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, keperluan kediaman mampu milik kini melebihi 48%, namun bekalan rumah sedemikian hanya setakat 24%.

Katanya, kerajaan perlu menyeimbangkan keadaan ketika ini, di mana kebanyakan rumah di pasaran berharga lebih RM250,000 hingga RM300,000 malah ada yang mencecah juta ringgit.

Jumaat lalu, Bernama memetik Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai berkata, ketidakseimbangan pasaran hartanah boleh memberi risiko besar ke atas keseluruhan ekonomi sekiranya berlaku kejutan.

Beliau berkata, Malaysia mencatatkan hartanah kediaman tidak terjual yang tinggi, iaitu 130,690 unit bagi tempoh sehingga suku pertama 2017, khususnya rumah berharga lebih RM250,000 manakala kadar kekosongan pejabat dijangka mencecah 32% pada 2021.

Katanya, kira-kira 140 pusat beli-belah akan menyertai pasaran hartanah di negeri utama menjelang 2021 dan ia akan memburukkan lagi lebihan penawaran serta berpotensi menjadi lebih teruk berbanding semasa krisis kewangan Asia (1997).

Sin Chew Daily memetik statistik BNM menunjukkan kadar kekosongan pejabat ketika ini paling serius di Lembah Klang sebanyak 24%, manakala kira-kira 130,690 unit kediaman tidak terjual sehingga suku pertama tahun ini, di mana 83% daripadanya berharga melebihi RM250,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.