
Ketua Pemuda negeri, Yamani Hafez Musa berkata, aspek pekerjaan antara isu yang banyak disuarakan anak muda menerusi beberapa siri Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50).
“Antaranya perkara yang terkandung dalam Bajet Sabah 2018 adalah pengenalan Skim Jaya Perantis Anak Sabah (Syabas) yang bertujuan memberi peluang latihan bekerja dalam industri bukan sahaja kepada graduan di peringkat universiti, malah lulusan diploma dan sijil.
“Syabas yang akan dilaksanakan melalui Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (Ikrar) yang mampu menyelesaikan isu tiada pengalaman kerja di kalangan graduan ketika mencari pekerjaaan buat kali pertama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, ketua menteri Sabah mengumumkan peningkatan 100% peruntukan khas untuk wanita, ibu tunggal, warga emas, orang kelainan upaya, belia dan masyarakat desa.
Peruntukan khas itu dinaikkan daripada RM53 juta kepada RM115 juta tahun depan, sebagai cerminan kepada prestasi kuat ekonomi negeri 4 tahun berturut-turut.
Peruntukan khas itu akan membiayai program baharu dan sedia ada khusus untuk kumpulan sasaran yang akan dilaksanakan semua kementerian, jabatan dan agensi negeri.
Yamani bersyukur kerajaan Sabah berjaya meningkatkan hasil negeri sehingga mencecah RM4.16 bilion yang turut dikongsi dan dikembalikan kepada rakyat menerusi pelbagai dasar serta program berorientasikan rakyat.
Katanya, Pemuda BN Sabah turut menyokong keputusan kerajaan negeri meneruskan pemberian dana bagi Skim Usahawan Muda (YES) melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta bantuan pinjaman mikro kredit melalui Yayasan Usaha Maju (YUM) bagi membantu rakyat menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan.
“Pemuda BN Sabah amat gembira isu berkaitan keperluan pementoran (coaching) dalam pengembangan usahawan muda yang dikemukakan mendapat respons kerajaan negeri dengan pengenalan Skim Pementoran Kerjaya dan Keusahawanan (Skor).
“Langkah ini penting agar belia yang berminat dalam bidang perniagaan dibimbing melalui kaedah pementoran dan diberikan akses kepada pelbagai bantuan latihan, geran dan pinjaman sedia ada yang disediakan, sama ada oleh kerajaan negeri atau persekutuan.”
Beliau berkata, Pemuda BN Sabah juga gembira dengan peruntukan tambahan RM5 juta sebagai bantuan khas kepada anak Sabah kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
“Ini merupakan peruntukan tambahan kepada RM40.5 juta peruntukan yang disalurkan melalui biasiswa dan dermasiswa.
“Sesungguhnya Bajet Sabah 2018 amat mesra rakyat merentasi semua segmen masyarakat, termasuk generasi muda.”
Ekonomi mengukuh, Musa umum peruntukan program rakyat naik 100%, bonus