Najib kongsi rahsia tangani stres

Najib kongsi rahsia tangani stres

Perdana menteri berkata bersenam dan melakukan perkara yang diminati berupaya membantu mengurangkan stres.

najib-razak
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata menangani stres dengan betul adalah rahsia kekal sihat pada usia 63 tahun.

Beliau berkata, sebagai perdana menteri kadar stres yang dihadapinya adalah terlalu tinggi dan bersenam salah satu cara yang diamalkan untuk mengawal kadar stres.

“Sebagai pemimpin tertinggi negara, kadar stres memang tinggi. Stres menteri tinggi, stres timbalan perdana menteri lebih tinggi, tetapi stres sebagai perdana menteri lebih tinggi dari itu.

“Kalau ada peluang jadi perdana menteri, anda akan sedar (tahap stres) dan mesti tahu bagaimana untuk uruskan stres,” kata Najib ketika sesi bual bicara bersama peserta Pameran Tahunan PKS (Smidec) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (Mitec) hari ini.

Katanya, stres boleh datang daripada pelbagai sudut namun melakukan perkara yang diminati berupaya membantu mengurangkan stres.

“Kita mungkin stres dengan bank, pelanggan dan pasangan…saya tidak tahu, itu terlalu sensitif, tapi kita perlu uruskan.

“Seimbangkan kehidupan, kerjaya dan keluarga, apabila kita bercakap pasal stres ada beberapa perkara yang boleh dilakukan. Saya lakukan perkara yang saya seronok.

“Bagi saya senaman fizikal, bermain golf hanya rekreasi. Pemain golf tidak sihat,” katanya lagi.

Najib berkata, aspek kerohanian juga membantu beliau menangani stres dalam kehidupannya.

“Komitmen kerohanian…kita perlukan kekuatan rohani dan lain-lain seperti menonton TV dan menonton kemenangan Manchester United.

“Tapi rambut saya makin lama makin putih.

“Itu perspektif saya…’positif attitude’ yang matahari akan terus bersinar esok. Mudah-mudahan selepas pilihan raya matahari akan bersinar semula keesokan harinya,” katanya lagi.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.