‘MIB tak perlu jadi dasar negara, janji Najib sudah cukup’

‘MIB tak perlu jadi dasar negara, janji Najib sudah cukup’

P Kamalanathan berkata, berkata, rakyat khususnya kaum India tidak seharusnya syak wasangka dengan janji perdana menteri.

P-Kamalanathan-Pelan-Tindakan-Masyarakat-India-Malaysia
KUALA LUMPUR: Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) tidak perlu dijadikan dasar negara kerana Datuk Seri Najib Razak akan mengotakan janjinya kepada kaum itu, kata Datuk P Kamalanathan.

Timbalan menteri pendidikan itu berkata, rakyat khususnya kaum India tidak seharusnya syak wasangka dengan janji perdana menteri.

“MIB merupakan perancangan untuk kaum India yang dilancarkan perdana menteri, apabila pemimpin negara bersama timbalan perdana menteri naik ke pentas dan berjanji untuk kaum India, saya rasa ini lebih kuat daripada dasar.

“Kita kena percaya ia (MIB) akan dilaksanakan, ramai kaum India juga percaya ia akan menjadi suatu kejayaan. Kita sudah nampak perancangan yang dilaksanakan,” katanya dalam sidang media di luar Dewan Rakyat hari ini.

April lalu, Najib melancarkan MIB sebagai dokumen rasmi kerajaan untuk pembangunan komuniti India di negara ini bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Pelan berkenaan mengatur hala tuju untuk 1.7 juta orang India di dalam negara yang membabitkan peruntukan lebih RM1 bilion dengan penekanan untuk sektor pendidikan, penyertaan dalam perkhidmatan awam dan menyelesaikan masalah taraf kewarganegaraan.

Terdahulu, G Manivanan (PKR-Kapar) mempertikaikan tindakan kerajaan pusat tidak membawa MIB ke Dewan Rakyat untuk dijadikan dasar negara seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Ia (MIB) hanya satu dokumen, teks tetapi tidak dibawa (ke Dewan Rakyat) dan diberi kuasa yang sama seperti DEB. Isu ini juga dielak sebanyak 3 kali oleh pemimpin-pemimpin MIC.”

Beliau turut mencabar pemimpin MIC dan Umno berdebat mengenai MIB di dalam atau luar Dewan Rakyat.

“Banyak yang kita hendak tahu mengenai MIB. Bawa ia ke Dewan Rakyat dan marilah kita bahaskan mengenai perkara itu, bukannya hanya membangkitkan ia ketika berucap di atas pentas.

“Tidak mengapalah, kalau tidak boleh bawa ke Dewan Rakyat, kami sedia untuk berdebat mengenai isu ini di luar Dewan Rakyat.”

Kamalanathan yang juga ahli Parlimen Hulu Selangor berkata, beliau sedia berdebat dengan mana-mana pihak di lokasi sesuai seperti Dewan Rakyat.

“Saya boleh berdebat dengan sesiapa sahaja di Dewan Rakyat. Keutamaan saya adalah berkenaan kaum India. Saya fokus dengan tanggungjawab saya, tidak ada masalah untuk berdebat.”

Najib umum pelan 10 tahun pembangunan kaum India

Santiago dedah kekurangan Pelan Tindakan India Malaysia

Najib: Pelan Tindakan Masyarakat India bukan khayalan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.