
Supt Nasri Mansor dari Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) di Ibu Pejabat Polis Selangor dari kandang saksi mengatakan beliau takut jika baju kelabu tanpa lengan itu dibuka.
“Saya takut buka…ada alami simptom…tak pakai sarung tangan bila rampas,” katanya tanpa menghuraikan simtom yang pernah dialaminya
Baju itu dipakai oleh Siti Aisyah dalam kejadian dakwaan bunuh pada 13 Februari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
Peguam Siti Aisyah, Gooi Soon Seng bertegas mahu Nasri mengesahkan pakaian Siti selepas Nasri hanya ditunjukkan gambar pakaian itu semasa perbicaraan manakala timbalan pendakwa raya Iskandar Ahmad berkata pakar kimia menasihatkan pendakwa raya jangan membuka kemeja dicemari agen saraf VX itu di tempat awam.
“Saya sedia buka dan sentuh baju,” kata Gooi.
Peguam itu kemudian mengenakan sepasang sarung tangan dan memotong beg mengandungi baju itu sementara Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Iskandar memakai topeng muka.
Gooi kemudian meminta Nasri, yang memakai topeng dan sarung tangan, untuk turun dari kandang saksi untuk mengenal pasti di mana tanda-tanda yang beliau tandakan pada pakaian itu.
“Memandang baju itu dah koyak-koyak, tak jumpa tanda tersebut,” katanya, selepas memeriksa bukti itu.
Nasri menambah tanda itu mungkin tiada lagi selepas pakar kimia mengeluarkan bahagian yang mengandungi agen kimia VX.
Gooi kemudian mengambil bukti lain, iaitu selendang hitam dan putih Siti Aisyah, dan memegangnya berdekatan Nasri yang kembali ke kandang saksi.
“Bolehkan anda meletakkannya?” kata Nasri yang nampak cemas.
Bulan lalu, pakar kimia Dr Raja Subramaniam berkata beliau menemui prekursor agen VX pada lengan Siti dan baju “LOL” yang dipakai tertuduh warga Vietnam, Doan Thi Huong.
Pakaian “LOL” itu dikatakan dipakai Doan semasa beliau didakwa mendekati Jong Nam di klia2 dan mengenakan agen VX padanya.
Imej dari rakaman CCTV meunjukkan individu yang didakwa membunuh Jong Nam itu memakai baju “LOL” disiarkan di media antarabangsa dan pembunuh itu digelar “Miss LOL”.
Siti Aisyah dan Doan didakwa membunuh Jong Nam, abang sebapa kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Nam pada 13 Februari.
Anak sulung kepada bekas pemimpin Korea Utara Kim Jong Il itu tiba di Malaysia pada 6 Februari dan berada di klia2 untuk menaiki penerbangan 9.00 pagi ke Macau pada hari kejadian.
Beliau meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya, mencetuskan pertelingkahan diplomatik antara Putrajaya dan Pyongyang.
Pada ucapan pembukaan 2 Oktober lepas, pihak pendakwa raya berkata mereka mahu membuktikan 2 wanita itu mendekati Jong Nam di balai berlepas dan mengenakan agen saraf VX pada wajahnya.
Pendakwa raya memberitahu mahkamah tindakan Siti Aisyah dan Doan menunjukkan mereka berniat menyebabkan kematian Jong Nam.
Perbicaraan bersambung esok.