Itu idea Rafizi, PH belum putuskan isytihar harta, kata Dr M

Itu idea Rafizi, PH belum putuskan isytihar harta, kata Dr M

Pengerusi Pakatan Harapan itu bagaimanapun berkata beliau bersedia isytihar aset sekiranya menjadi calon.

mahathir_Rafizi-ramli_600
KUALA LUMPUR:
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sedia mengisytiharkan hartanya jika dipilih sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.

“Ya, saya boleh untuk mengisytiharkan aset saya tetapi tidak tahu sama ada saya akan menjadi calon atau tidak,” kata pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli bahawa seramai 30 calon pilihan raya gabungan itu bakal mengisytiharkan aset pada Ahad ini, di samping mengikatkan diri mereka untuk membayar denda RM20 juta sekiranya melompat parti selepas menang.

Dr Mahathir berkata PH tidak membincangkan isu pengisytiharan harta.

“Itu soal Invoke,” katanya merujuk badan yang diketuai Rafizi. “Dia yang buat pengisytiharan. Kita tidak tahu apa-apa. Kita ada strategi kita sendiri dan akan ikut keputusan akhir yang akan dibuat Majlis Presiden.

Sementara itu, bekas perdana menteri itu berkata tindakan akhbar pro-Umno memetik artikel dan gambar sebuah blog berkenaan gaya hidup cucunya, adalah strategi agar masyarakat benci kepadanya.

“Namun, keseluruhan idea ini adalah untuk mengalihkan perhatian terhadap isu 1MDB dan wang RM2.6 bilion,” katanya.

Utusan Malaysia dan Berita Harian baru-baru ini menerbitkan laporan mengenai gaya hidup “mewah” 2 anak Datuk Seri Mukhriz Mahathir, memaparkan gambar diambil daripada akaun Instagram mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.