
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata walaupun polis mempunyai sampel DNA daripada keluarga Mahmud, pihak berkuasa Filipina belum meminta Malaysia mengesahkan mayat yang dikatakan Mahmud Ahmad itu, yang dilaporkan terbunuh bulan lepas.
“Kami mahu membawa pulang mayatnya jika keluarga pohon,” katanya.
“Lagipun, dia rakyat kita, walau siapapun dia dan apa yang sudah dia lakukan,” kata Fuzi kepada pemberita selepas melawat Unit Tindakan Khas (UTK) di Cheras, semalam.
Beliau ditanya sama ada kerajaan dapat mengesahkan militan bekas pensyarah itu terbunuh di Marawi bulan lepas.
Fuzi berkata polis mengambil sampel DNA daripada keluarga Mahmud atas inisiatif sendiri.
“Kami sentiasa berhubung dengan polis Filipina untuk mengesahkan identiti Mahmud tetapi mereka tidak mempunyai kuasa ke atas mayat itu,” katanya.
CNN Filipina pada 19 Oktober lepas melaporkan Mahmud mungkin terbunuh bersama 13 pengganas lain dalam operasi malam pihak tentera ke atas tempat persembunyian pengganas di Marawi.
Mahmud, 39, dikenali dalam kalangan kumpulan pelampau di sana sebagai Abu Handzalah.
Dia dikatakan diperhatikan oleh jaringan pengganas IS sebagai emir baharu kumpulan itu di rantau Asia Tenggara.
Dia bertanggungjawab merekrut dan orang rujukan untuk militan asing yang mahu menyertai kumpulan pelampau di Filipina yang baru-baru ini bersekutu dengan IS.
Mahmud dilaporkan bertanggungjawab ke atas latihan dan menghantar militan untuk bertempur di Syria dan Iraq. Antara orang yang direkrut ialah pengebom bunuh diri Malaysia pertama, Ahmad Tarmimi Maliki.
Mahmud, seorang bekas profesor pengajian Islam di Universiti Malaya, dilatih di kem Al-Qaeda di Afghanistan pada penghujung 1990-an semasa menuntut di Pakistan, dan melarikan diri ke Filipina pada 2014 apabila pihak berkuasa Malaysia mendedahkan identitinya sebagai seorang pelampau.