Suami isteri mengaku tak bersalah rantai anak pada tong gas

Suami isteri mengaku tak bersalah rantai anak pada tong gas

Hakim menetapkan jaminan RM6,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

parent-ikat-tong-gas
KUANTAN: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan menganiaya anak mereka berusia 10 tahun dengan merantai lehernya pada tong gas, bulan lepas.

Mohd Farid Fikri Mohamad, 32, yang merupakan anggota tentera dan isterinya, Fatimah Muhammad Zain, 37, dengan tenang membuat pengakuan itu di depan Hakim Datuk Unaizah Mohd.

Mereka didakwa menganiaya kanak-kanak itu di bawah jagaan mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sebuah rumah di Bandar Indera Mahkota di sini antara 1 pagi hingga 9.15 pagi, 5 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seksyen itu juga memperuntukkan hukuman tambahan bon berkelakuan baik untuk tempoh dan syarat yang difikirkan sesuai oleh mahkamah serta melakukan khidmat masyarakat tidak melebihi 240 jam.

Mereka juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan membiarkan anak itu tanpa membuat persediaan untuk pengawasan dan pemeliharaan yang sepatutnya antara 8 pagi, 31 September hingga 10.30 malam, 4 Oktober di tempat sama.

Mangsa merupakan anak kandung Fatimah hasil perkahwinan terdahulu dengan seorang pencuci kereta di Melaka dan selepas kejadian itu, kanak-kanak berkenaan bersama abangnya tinggal bersama ayah kandung mereka.

Pada prosiding itu, peguam Noor Svetlana Mohd Noor Nordin merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM8,000 setiap seorang yang ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hassim atas alasan keadaan kewangan anak guamnya tidak begitu baik.

Svetlana juga memaklumkan Farid Fikri berkhidmat sebagai anggota tentera selama 13 tahun dan tidak pernah mempunyai rekod buruk, sehingga seorang pegawainya hadir di mahkamah untuk memberi sokongan moral.

Unaizah kemudian menetapkan jaminan RM6,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan sebutan semula pada 9 Januari 2018 untuk penyerahan dokumen dan laporan perubatan.

Hasrat budak lelaki dirantai pada tong gas bertemu bapa tercapai

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.