
Semua orang rasa tertekan bila badan menunjukkan tanda-tanda kegemukan.Apatah lagi dalam kalangan selebriti antarabangsa terkenal. Terbaharu penyanyi, Mariah Carey juga tertekan dengan isu yang sama.
Lazimnya kita akan berdiet, bersenam, kawal pengambilan makanan manis dan berlemak disertai kelas kecergasan, namun bukan semua orang berjaya mengembalikan berat badan asal atau mengurangkannya.
Bagi Mariah Carey, ada pilihan pantas yang “gerenti” boleh kurus.
Penyanyi itu menjalani pembedahan “sleeve gastric” bagi mengecilkan saiz perut sebagai langkah terakhir mengurangkan berat badannya.
Menurut laporan Page Six, Mariah yang berasa tertekan dengan berat badannya yang naik mendadak sejak akhir-akhir ini menerima kritikan hebat semua orang khususnya di media sosial.
“Tidak tahan dengan semua itu, dia (Mariah) mengarahkan tag saiz pada pakaiannya ditanggalkan kerana dia tidak mahu mengetahui saiznya sekarang,” kata sumber kepada media itu.
Malah, pembedahan itu dijangka akan memberi harapan baharu kepada Mariah dalam bidang seni mahupun kehidupannya.
Sumber mengatakan saiz badannya ketara berbeza selepas pembedahan itu.
Bagaimanapun, ramai yang tidak mempercayainya kerana akui melihat Mariah Carey sepanjang 6 minggu lalu malah pembedahan “sleeve gastric” hanya dilakukan oleh mereka yang mempunyai masalah obesiti melampau.
“Jika difikirkan gosip itu mengarut kerana kalau Mariah melakukan pembedahan pastinya dia berada di hospital untuk satu tempoh.
“Tetapi sepanjang 6 minggu lalu, Mariah sentiasa muncul di khalayak dan sentiasa dikelilingi paparazi,” kata peminat.
Pengurus Mariah pula enggan mengulas mengenai dakwaan ini.