
Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, semua atlet akan diminta melakukan ujian tertentu bagi mengesan sama ada mereka merokok dan tidak ada yang akan dikecualikan.
Katanya, ujian saringan merokok dijadikan satu daripada kriteria pemilihan atlet selaras matlamat program yang mahu melahirkan atlet Malaysia yang konsisten dan lestari.
“Mereka (atlet) perlu berhenti merokok. Kami ada peranti untuk mengesan mereka yang merokok. Kalau ada yang didapati merokok, mereka perlu berhenti atau terpaksa meninggalkan Program Podium.
“Sebelum ini, kriteria merokok ini tidak disenaraikan…mungkin terlepas pandang. Tapi kali ini, kami akan buat ujian. Kami kena tegas dalam perkara ini (merokok),” katanya selepas pengumuman senarai terkini atlet Program Podium bermula Januari 2018 di Dewan Perdana ISN hari ini.
Pengarah Program Podium, Tim Newenham berkata, atlet akan diberi notis 6 bulan untuk berhenti merokok, jika mereka memilih untuk kekal dalam program itu.
Beliau berkata, jika atlet berhasrat berhenti merokok, ISN akan membantu mereka.
“Mereka harus membuat keputusan sama ada untuk berhenti merokok dan menyertai Program Podium. Mereka tidak boleh memilih kedua-duanya. Mereka boleh berhenti merokok dan menjadi atlet profesional, kami akan membantu mereka,” katanya.
Sementara itu, dalam pengumuman hari ini, Tim berkata, Jawatankuasa Program Prestasi Tinggi (HPCCC) yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengesahkan 39 atlet baharu, menjadikan jumlah 146 atlet dengan hoki adalah sukan baharu yang diserap dalam program itu dan kemasukan semula sukan menembak.