Selepas insiden ‘steering lock’, pegawai MPSJ kena serang lagi

Selepas insiden ‘steering lock’, pegawai MPSJ kena serang lagi

Kali ini, Nor Safuan Nordin diserang dengan cecair ketika mengambil tindakan terhadap pemilik sebuah kereta atas kesalahan parkir.

spray-mpsj
SHAH ALAM: Dua bulan lalu, pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Nor Safuan Nordin dipuji ramai atas kesabarannya ketika berdepan seorang wanita di Puchong, yang mengugutnya dengan sebatang pengunci stering selepas kenderaannya disita kerana melanggar peraturan letak kereta.

Selasa lalu, Norsafuan sekali lagi diserang, kali ini dengan penyembur lada oleh seorang lelaki.

Polis Serdang menangkap seorang suspek lelaki berusia 50 tahun pada hari sama.

Insiden itu berlaku selepas sebuah kereta Honda City diambil tindakan atas kesalahan letak kereta.

Menurut Adun Kinrara, Ng Sze Han, Norsafuan mengalami pedih mata dan sukar bernafas selepas serangan itu.

Pada 8 September lalu, Norsafuan dimarahi seorang wanita yang menghayun pengunci stering selepas tayar kenderaannya dikunci MPSJ di Bandar Puteri, Puchong.

Atas kesabarannya dan cara bertindak yang profesional, Norsafuan menerima sijil penghargaan MPSJ dalam majlis yang turut dihadiri Speaker Selangor dan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Ng menasihatkan orang ramai menjaga tingkah laku ketika mencari ruang letak kereta bagi mengelak kejadian sama berulang.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baharu, Ean Yong Hian Wah mengucapkan terima kasih kepada Norsafuan dan rakannya Syazwan Shukor “kerana bertindak secara profesional dan bertenang semasa menjalankan tugas”.

Bagaimanapun, Ean menolak keperluan pegawai penguat kuasa dilengkapkan dengan senjata.

“Arahan yang kita bagi supaya mereka perlu profesional, tenang ketika menghadapi kesukaran berhadapan pemilik kenderaan,” katanya.

Sementara itu, Adun Balakong, Ng Tien Chee mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk melengkapkan pegawai penguat kuasa dengan kamera untuk rakaman bagi memudahkan siasatan sebarang insiden.

Wanita hayun batang kunci stereng, maki penguat kuasa kunci tayar

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.