
Gooi Soon Seng, peguam kepada Siti Aisyah dari Indonesia, bertanyakan ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz sama ada beliau menjalankan siasatan mendalam ke atas pembunuhan itu.
Gooi bertanyakan mengenai ramasan barangan peribadi bekas suspek Ri Jong Chol dan soal siasat selama 13 hari semasa dalam tahanan polis.
Azirul berkata pegawai dari ibu pejabat polis Selangor menangkap Jong Chol di pangsapuri di Kuchai Entrepreneur Park, Kuala Lumpur pada 17 Februari kerana mengesyaki unit itu makmal tersembunyi untuk menghasilkan agen saraf VX.
Beliau menambah polis turut merampas 4 telefon bimbit, 4 kad sim, 2 komputer riba, 2 tablet, 1 komputer, 1 botol klorida,, 2 sarung tangan merah jambu dan 1 penggosok gigi dari rumah itu.
Gooi: Telefon bimbit ada dalam simpanan kamu?
Azirul: Tiada lagi.
Gooi: Tiada lagi? Apa terjadi pada 4 telefon bimbit?
Azirul: Kesemua telefon bimbit telah diserahkan kepada Ri Jong Chol semasa proses pengurisan.
Azirul berkata gajet berkenaan dihantar ke jabatan forensik untuk analisis tetapi beliau tidak membawa laporan forensik itu ke mahkamah hari ini.
Hakim Azmi Ariffin memberitahu penyiasat itu supaya menyerahkan laporan forensik berkaitan kepada Gooi sebelum pendengaran seterusnya.
Jong Chol direman kira-kira 2 minggu dan dibebaskan daripada tahanan reman pada 3 Mac.
Azirul sebelum ini berkata polis tidak mempunyai bukti secukupnya untuk mendakwa Jong Chol dan seorang lagi suspek warga tempatan, Farid Jalaluddin.
Gooi kemudian mengasak sama ada pakaian dan cebisan kuku Jong Chol dihantar untuk analisis.
Gooi: Saya menyatakan kamu tak ambil sebarang pakaian Ri Jong Chol atau ambil keratan kuku jari untuk dihantar ke jabatan kimia untuk pengesanan kewujudan VX?
Azirul: Setuju.
Gooi: Sebaliknya pakaian Orang Kena Tahan 1 (Siti) keratan kuku dan wang dirampas dan dihantar ke jabatan kimia?
Azirul: Setuju.
Azirul menjelaskan ketika itu barangan Jong Chol tidak perlu diambil polis.
Siti Aisyah dan Doan Thi Huong dari Vietnam dibicarakan utnuk pembunuhan abang sebapa pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.
Jong Nam, anak sulung kepada bekas pemimpiin Korea Utara Kim Jong Il tiba di Malaysia pada 6 Februari dan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 untuk menaiki penerbangan 9.00 pagi ke Macau pada hari beliau dibunuh.
Beliau maut dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya, mencetuskan pertelagahan diplomatik antara Putrajaya dan Pyongyang.
Pendakwa raya pada 2 Oktober berkata mereka mahu membuktikan 2 wanita itu mendekati Jong Nam di balai berlepas klia2 dan mengenakan agen VX pada muka mangsa.
Pendakwa raya memberitahu mahkamah tindakan Siti dan Aisyah menunjukkan mereka berniat menyebabkan kematian Jong Nam.
Di mahkamah hari ini, Azirul mengakui beliau hanya mengambil keterangan Jong Chol sekali sepanjang siasatan itu.
Beliau bersetuju apabila ditanya Gooi adakah mustahil untuk memanggil Jong Chol sebagai saksi untuk perbicaraan itu memandangkan beliau sudah kembali ke negaranya.
Gooi: Ada ambil tindakan bawah Seksyen 49 Kanun Prosedur Jenayah terhadap Ri atau bon untuk menampilkan diri sebagai saksi?
Azirul: Tidak ada.
Gooi: Ada ambil tindakan bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah?
Azirul: Tidak ada.
Gooi: Adakah kamu ambil tindakan Seksyen 396 Kanun Prosedur Jenayah iaitu membawa saksi tersebut supaya keterangan diambil dulu sebelum diusir?
Azirul: Tidak ada.
Penyiasat itu berkata beliau tidak menerima sebarang arahan daripada timbalan pendakwa raya untuk memanggil Jong Chol sebagai saksi.
Pendengaran akan bersambung di hadapan Hakim Azmi pada Isnin.