Pakar Islam AS batal lawatan ke Malaysia, bimbang terima nasib Akyol

Pakar Islam AS batal lawatan ke Malaysia, bimbang terima nasib Akyol

Prof Asma Afsaruddin berkata ia kerana 'situasi semasa' ekoran penangkapan Mustafa Akyol di Malaysia pada September lalu.

prof
PETALING JAYA:
Islamic Renaissance Front (IRF) bimbang ahli akademik terkemuka luar negara kini menjauhkan diri daripada program ilmiah di Malaysia, lebih sebulan selepas pihak berkuasa agama menahan penulis Mustafa Akyol sebelum beliau dibebaskan selepas tekanan pihak istana.

Ia selepas ahli akademik terkemuka dari Amerika Syarikat, Prof Asma Afsaruddin yang kini mengajar di Universiti Indiana, berkata beliau tidak dapat memenuhi jemputan ke sebuah forum dan pelancaran buku karangannya di Kuala Lumpur pada tahun depan, kerana bimbang apa yang berlaku ke atas Akyol akan berulang.

“Beliau (Akyol) memberitahu saya apa yang berlaku kepadanya di Malaysia sejurus selepas memberi syarahan di sana, dan juga berkenaan pengharaman bukunya. Jika keadaan lebih meyakinkan, saya dengan hormatnya akan menjadi tetamu anda,” tulis Afsaruddin dalam satu emel kepada IRF dilihat oleh FMT hari ini.

“Dengan keadaan semasa, bagaimanapun, saya dengan kesal tidak dapat memberi respons positif kepada undangan anda yang sangat baik ini,” kata Afsaruddin, pakar dalam pemikiran politik Islam dan sumber Islam yang pernah mengajar di universiti terkemuka seperti Harvard dan John Hopkins.

Afsaruddin, seorang pakar bahasa Arab yang juga penasihat untuk “Dictionary of Islan” terbitan Oxford yang menjadi rujukan penting badan akademik antarabangsa, dijadualkan bercakap mengenai bukunya bertajuk “The First Muslims: History and Memory”.

Buku itu diterjemahkan kepada bahasa Melayu oleh IRF dan akan dilancarkan sempena lawatannya pada Mac 2018. Buku itu memberi kupasan segar terhadap sejarah awal Islam, topik yang sangat dekat dengan bidang kerjanya.

Karya Afsaruddin pernah diterbitkan oleh rumah penerbitan akademik terkemuka sepeerti E.J. Brill di Leiden, Universiti Oxford dan Universiti Harvard.

Pada 2015, beliau diberi penghormatan oleh Presiden Iran, Hassan Rouhani atas karyanya, “Striving in the Path of God: Jihad and Martyrdom in Islamic Thought” yang telah memenangi hadiah buku berprestij “Jayezeh Jahani” negara itu.

Pengarah IRF, Datuk Dr Ahmad Farouk Musa, yang turut dipanggil Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana terlibat dalam penganjuran siri syarahan Akyol pada September, berkata keputusan Afsaruddin untuk membatalkan lawatannya menunjukkan persepsi negatif yang wujud dalam kalangan intelektual tentang Malaysia.

“Tindakan melampau oleh fanatik yang disokong kerajaan ini menjadikan intelektual Islam bertanggapan negara ini diperintah oleh agen Tuhan moden dalam bentuk penguasa agama bernama Jawi,” katanya kepada FMT.

“Dan ini tidak baik untuk negara yang mahu memaparkan imej sebagai negara sederhana dan progresif.”

Jawi menuduh Akyol dan Farouk melanggar undang-undang yang memerlukan seseorang yang mengajar Islam mendapatkan “tauliah” daripada pihak berkuasa agama.

Tetapi Akyol berkata beliau bukannya bercakap sebagai autoriti agama.

“Saya tidak mendakwa diri saya sebagai mufti atau imam dari mana-mana autoriti agama,” beritahu Akyol kepada FMT beberapa jam selepas dibebaskan pada 26 September.

“Saya hanya merujuk kepada pandangan lebih liberal tradisi Islam, daripada kaca mata seorang ahli akademik, dan saya hairan perkara sebegini pun sudah menggemparkan bagi mereka.”

Beberapa hari selepas meninggalkan Malaysia, Putrajaya mengumumkan pengharaman buku Akyol, “Islam Without Extremes: A Muslim Case For Liberty” dan terjemahan bahasa Melayunya oleh IRF, “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah untuk Kebebasan”.

Kementerian Dalam Negeri berkata buku itu boleh memudaratkan kepentingan awam.

Dr Farouk yang sedang menimbang mengheret kerajaan Malaysia ke mahkamah di atas pengharaman itu, berkata adalah sesuatu yang biasa untuk IRF mengundang ahli akademik luar negara dalam siri jelajah ceramah untuk bercakap mengenai penulisan mereka.

“Sememangnya budaya kita untuk mengundang penulis pada pelancaran buku mereka yang diterjemah dan untuk mereka memberi sedikit ucapan dan berbincang dalam forum,” kata bekas pakar bedah itu yang kini mengajar di Universiti Monash Malaysia.

Dalam emelnya, Afsaruddin berkata beliau kesal dengan keputusannya tetapi berharap terjemahan karyanya kepada bahasa Melayu akan diterbitkan juga di sebalik tindakan kerajaan Malaysia mengharamkan pelbagai buku berkait topik Islam.

“Dalam mendepani situasi demikian, ilmu dan pembelajaran adalah pertahanan terbaik terhadap tindakan mengaburkan maklumat,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.