Jamil Khir: Penceramah asing perlu tauliah untuk elak penyelewengan

Jamil Khir: Penceramah asing perlu tauliah untuk elak penyelewengan

Menteri Jamir Khir Baharom mengambil Singapura sebagai contoh negara yang menjaga kerukunan dan ketenteraman melalui peraturan tauliah yang ketat.

jamil-penceramah
KUALA LUMPUR:
Langkah mewajibkan penceramah Islam sama ada dari dalam atau luar negara mendapatkan tauliah bertujuan untuk mengelak berlakunya penyelewengan, selain menjaga hal-hal berkaitan sensitiviti masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata sebagai contoh di Singapura, sekiranya sesuatu poster penceramah tanpa tauliah diiklankan, ia telah pun dianggap sebagai satu kesalahan.

“Maknanya, betapa mereka (Singapura) menjaga kerukunan dan ketenteraman, maka sebab itu dalam konteks Malaysia dikenakan peraturan-peraturan tersebut,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Jamil Khir berkata pemberian tauliah tertakluk kepada bidang kuasa jabatan agama negeri masing-masing selaras dengan peruntukan Butiran 1 Senarai II, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, katanya, setiap penceramah yang mahu mengadakan program berbentuk ceramah di Malaysia perlu mendapatkan kebenaran daripada jabatan agama Islam negeri, majlis agama Islam negeri atau jabatan mufti di negeri berkenaan.

“Negeri akan mengeluarkan kebenaran tauliah kepada penganjur atau terus kepada penceramah dan bagi sesetengah negeri pihak yang berautoriti boleh memberikan tauliah mengikut had tempoh tertentu sebagaimana yang dipohon oleh penganjur sekiranya memenuhi peraturan yan ditetapkan.

“Dalam hal ini kerajaan sentiasa mengambil berat dalam memastikan penceramah memohon tauliah dahulu terutamanya melibatkan kepentingan awam bagi Wilayah Persekutuan, penceramah disyaratkan untuk memohon tauliah berdasarkan Seksyen 96 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan 1993,” katanya.

Baru-baru ini syarahan oleh penulis Turki Mustafa Akyol dibatalkan dan penulis itu turut disiasat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan kerana mengajar tanpa tauliah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.