
Pengerusi Pakatan Harapan itu didakwa menghina keturunan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan sindiran “keturunan lanun Bugis” dalam 2 ceramah politik bulan lalu.
Najib berulang kali mengisytiharkan beliau berketurunan Bugis dalam ucapannya. Bugis berasal dari Sulawesi Selatan, Indonesia.
“Saya tak kata apa-apa pun terhadap suku Bugis. Saya hanya menyerang Najib. Baca ucapan saya,” kata Dr Mahathir secara acuh tak acuh, selepas melawat mangsa bencana banjir di Teluk Kumbar, Bayan Lepas petang tadi.
Najib secara tidak langsung menjawab kenyataan Dr Mahathir di satu acara baru-baru ini, mengatakan Bugis adalah pahlawan dan tidak akan merendahkan martabat orang seperti beliau.
Sindiran Dr Mahathir itu dilaporkan menyinggung suku Bugis di Indonesia, mendorong Kedutaan Malaysia di Jakarta meningkatkan tahap keselamatan d premis kedutaan itu.
Pada 20 Oktober lepas, kedutaan menerima memorandum daripada Persatuan Pemuda Bugis Makassar Indonesia, yang berang dengan kenyataan Dr Mahathir, lapor Bernama.
Dewan di-Raja Selangor juga tidak berpuas hati dalam isu ini, mengatakan kenyataan negarawan itu jelas menggolongkan bangsa Bugis kononnya berasal usul dari golongan lanun, perompak dan penjenayah. Sultan Selangor berketerunan Bugis.