

Mungkin kebetulan tetapi bagi pemandu beca, Ijajul Mia pula, dia berdepan pelbagai masalah apabila sering dihubungi peminat pelakon wanita itu sehinggakan hidupnya tidak tenteram.
Apatah lagi bagi lelaki ini yang baru sahaja berkahwin dan mendirikan rumah tangga bersama isterinya di perkampungan Jatrapasha, Baniachang Upazila.
“Hidup saya terganggu dan isteri juga cemburu selepas ratusan peminat wanita Shakib menghubungi saya setiap masa, setiap hari,” katanya kepada BBC.
“Saya baru sahaja mendirikan rumah tangga dan mempunyai seorang anak perempuan. Panggilan-panggilan itu menyebabkan isteri menyangka saya mempunyai hubungan sulit,” katanya.
Malah, isterinya juga pernah mengancam untuk meninggalkan Ijajul berikutan masalah itu.
Ekoran itu, Ijajul yang akui perkahwinannya hampir musnah kerana pelakon itu menuntut ganti rugi 5 juta taka (RM254,125) dan mendesak filem itu dihentikan tayangan sehingga kes berkenaan selesai.
Shakib dalam filem cinta, ‘Rajneeti’ menyebut nombor milik Ijajul kepada watak kekasihnya.
Sejak 25 Jun lalu, hidup Ijajul tidak tenteram kerana menerima hampir 500 panggilan sehari.
Ada wanita mendesak untuk berjumpa dengan lelaki itu dengan menyangka ia adalah Shakib.
“Mereka minta kebenaran untuk bercakap 2 minit menyangka saya adalah Shakib,” katanya.
Shakib, pelakon terkenal Bangladesh menerima pelbagai anugerah, menerbit, mengarah dan berlakon dalam filem Rajneeti itu.
Ijajul juga enggan menukar nombornya kerana takut akan kehilangan pelanggan tetap.
Menurut laporan AFP, seorang wanita sanggup berjalan 500km semata-mata untuk berjumpa pelakon itu selepas mengesan alamat rumah menggunakan nombor milik Ijajul.
Media tempatan pula melaporkan walaupun pada awalnya hakim tidak berminat terhadap kes itu tetapi mengubah fikiran selepas meneliti bukti huru-hara dialami Ijajul.
Beliau menetapkan 18 Disember ini untuk sebutan kes.
Kesian kan… semoga peminat Shakib yang tergila-gilakan pelakon itu juga turut membaca berita dan sedar ia bukan nombor telefon pelakon tersebut.