
Beliau yang lebih dikenali sebagai Art berkata, ketua Pemuda Umno itu sepatutnya tahu membezakan “berita palsu” dan catatan orang ramai yang memberi gambaran negatif mengenai kerajaan.
Beliau berkata, ia kini menjadi trend untuk melabelkan gambar seperti yang menunjukkan Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa memeluk bekas pengawal peribadinya sebagai “berita palsu” dan dakyah pembangkang.
“Hakikatnya, adakah terdapat bukti gambar itu sebahagian usaha bersama pembangkang untuk memburukkan kerajaan?
“Ada buktikah pembangkang yang mula menyebarkan gambar itu, disusuli maklumat salah mengenai apa yang sebenarnya berlaku?
“Atau adakah ia hakikat gambar itu hanya disebarkan orang ramai antara satu sama lain dan kemudiannya dipotong dan ditampal serta dihantar semula orang ramai berulang kali?” soalnya di Facebooknya.
Beliau mengulas kenyataan Khairy semalam yang menyifatkan gambar Dr Mahathir memeluk 2 individu dipercayai bekas pengawal peribadi Unit Tindakan Khas (UTK) beliau sebagai “berita palsu” yang perlu dikecam.
Menteri belia dan sukan itu berkata, gambar itu diambil tahun lalu dan tiada kaitan dengan tindakan kerajaan menarik balik khidmat pengawal peribadi UTK itu Rabu lalu.
Mengulas lanjut, Art berkata, soalan sebenarnya yang perlu direnung Khairy ialah kenapa rakyat Malaysia begitu pantas menyebarkan gambar yang memberi gambaran buruk tentang kerajaan.
“Setiap kali ada gambar dan berita yang tidak memihak kepada kerajaan, gambar atau ‘berita’ (sama ada benar atau palsu) dengan pantas menjadi viral di media sosial.
“Adakah kerana orang suka kerajaan dan mereka mahu menunjukkan betapa salah atau palsu gambar atau berita itu? Atau ia sebaliknya?
“Itu, YB ialah persoalan sebenarnya untuk anda renungkan,” kata Art.
Gambar Dr Mahathir itu tersebar di media sosial selepas bekas perdana menteri itu menerusi catatan di Facebooknya mendakwa polis menarik balik khidmat pengawal peribadi yang disediakan UTK.
Ramai yang mengkritik tindakan Putrajaya menarik balik khidmat pengawal peribadi itu, khasnya selepas kerajaan menamatkan kontrak tukang masak dan pembantu pejabat Dr Mahathir.
Tahun lalu, kerajaan menamatkan khidmat polis trafik mengiringi perjalanan Dr Mahathir dengan alasan beliau menyertai perhimpunan yang bercanggah peruntukan undang-undang.
Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pengerusi Pakatan harapan itu perlu menulis surat untuk mendapatkan khidmat pengiring trafik yang akan diluluskan jika beliau menghadiri program rasmi kerajaan.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara baharu, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dipetik Mingguan Malaysia menafikan kerajaan menarik balik khidmat pengawal peribadi UTK.
Sebaliknya, beliau berkata, Dr Mahathir masih menikmati hak keistimewaan itu dan hanya beberapa pengiring peribadi yang terdiri daripada anggota biasa diarah kembali kepada pasukan keselamatan itu.
Gambar Dr M peluk 2 individu tiada kaitan khidmat pengawal peribadi ditarik