
Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim yang juga penasihat kumpulan moderat Melayu G25 yang terdiri daripada bekas penjawat awam dan diplomat berkata, apabila pekerja asing menyertai kesatuan sekerja, ia akan membolehkan mereka menikmati kenaikan gaji.
“Dan ini akan menyaksikan kurang insentif untuk majikan mencari tenaga kerja murah dengan membawa masuk ribuan orang dari negara lain,” katanya dalam sebuah forum bertajuk “Envisioning the Future: Malaysia Beyond GE14” semalam.
Beliau berkata, kesatuan sekerja ialah sebahagian daripada hak asasi manusia dan perlu digalakkan.
“Jika gaji dinaikkan, ia adalah baik untuk semua pekerja.”
Pakar ekonomi terkemuka, Prof Jomo Kwame Sundaram turut bersetuju dengan cadangan pekerja asing menyertai kesatuan sekerja, tetapi mengakui pelaksanaannya sukar.
Ini kerana katanya, apabila pekerja asing mula datang ke Malaysia pada 1980-an, beliau pernah membuat gesaan sama, namun ditentang kesatuan sedia ada dan DAP antara lain.
“Dan saya tidak pasti jika keadaan ini sudah berubah.
“Ia bukan isu mudah dan saya tidak pasti jika sesuatu yang orang akan pertimbangkan secara serius.”
Setakat 30 Jun lalu, Malaysia mempunyai 1.78 juta pekerja asing yang majoritinya terdiri daripada warga Indonesia, Nepal dan Bangladesh.
Pada 13 Februari 2016, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerajaan terpaksa membawa masuk 1.5 juta rakyat Bangladesh untuk bekerja di negara ini secara berperingkat.
Timbalan perdana menteri berkata, pekerja terbabit diperlukan untuk mengisi kekosongan dalam bidang tertentu yang tidak mahu dilakukan rakyat tempatan.
Katanya, sektor perladangan dan pembinaan mengalami kekurangan tenaga kerja kerana sering dianggap “sektor 3D” iaitu kotor, bahaya dan sukar.