
Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow berkata, sistem perparitan sedia ada di negeri ini sememangnya tidak mampu menampung aliran air begitu banyak ketika hujan lebat.
Menurutnya, jumlah taburan hujan luar biasa sejak 2 petang semalam yang bertembung kemuncak fenomena air pasang juga antara punca berlaku banjir kilat.
“Sistem perparitan semula jadi dan buatan sedia ada tidak mampu menampung aliran air hujan, tambah lagi taburan hujan yang begitu tinggi di kelima-lima daerah menyebabkan banyak kawasan ditenggelami air,” katanya hari ini.
Kadar taburan hujan yang direkodkan menunjukkan Seberang Perai Utara mencatatkan paras tertinggi, iaitu 372mm diikuti Seberang Perai Tengah (327mm), Timur Laut (289mm), Barat Daya (237mm) dan Seberang Perai Selatan (165mm).
Hampir keseluruhan kawasan Pulau Pinang dilanda banjir selepas hujan lebat sejak 2 petang semalam di mana 75 kejadian pokok tumbang dan 8 kejadian tanah runtuh dilaporkan.
Sementara itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri juga tidak mempunyai sumber anggota dan kelengkapan mencukupi untuk menghadapi bencana banjir ini.
Katanya, beliau amat menghargai kesediaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana sudi menerima panggilan telefonnya pada 3.30 pagi dan seterusnya menghantar anggota Angkatan Tentera Malaysia untuk membantu Pulau Pinang.
“Kami amat berterima kasih kepada Zahid, seorang pemimpin yang tidak memilih bulu semasa saat genting dalam kerja-kerja membantu mangsa banjir,” katanya.
Terdahulu, Lim berkata, kerajaan negeri tidak bercadang mengisytiharkan darurat buat masa ini kerana keadaan terkini masih terkawal.
Katanya, darurat hanya akan diisytihar kerajaan negeri selepas rundingan dan atas nasihat kerajaan persekutuan.
“Kami akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan bagi menyemak prosedur operasi standard (SOP) menangani bencana negeri sedia ada supaya penyelarasan lebih berkesan dapat dilakukan,” katanya.
Setakat 2 petang tadi, sebanyak 51 pusat pemindahan dibuka di Pulau Pinang bagi menempatkan 2,861 mangsa banjir di 5 daerah.
Cuaca di negeri ini masih mendung dengan sesekali hujan renyai.