
Pengerusinya, Datuk Ooi Eng Hock dipetik Sin Chew Daily mempersoalkan apa gunanya Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan lebat pada 9.30 malam menerusi laman webnya, sedangkan hujan turun sejak pagi semalam.
“Adakah peralatan ramalan cuaca Jabatan Meteorologi mundur menyebabkan ia tidak dapat membuat ramalan tepat?
“Ini bukan kali pertama Pulau Pinang terjejas akibat hujan lebat. Kira-kira sebulan lalu, Pulau Pinang turut berdepan banjir di seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Ooi turut menganggarkan pengilang di beberapa zon perindustrian Pulau Pinang perlu menanggung kerugian sekurang-kurangnya ratusan juta akibat banjir kilat kali ini.
Katanya, walaupun hari ini ialah hujung minggu, pekerja masih perlu bekerja kerana pengilang berdepan masalah kekurangan tenaga kerja, selain perlu menyiapkan tempahan untuk hujung tahun dan tahun baru nanti.
“Kami belum dapat menganggarkan kerugian akibat kerosakan mesin, tetapi ketika ini masalah terbesar ialah jalan ditenggelami air menyebabkan pekerja tidak dapat pergi ke kilang.
“Sejak semalam, kami terima panggilan pengilang untuk mencari jalan penyelesaian, kami pun tidak dapat berbuat apa-apa kerana ini bencana alam.”
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan pusat memberi peruntukan untuk mendalamkan sungai dan pengurusan banjir di negeri itu.
Pulau Pinang hari ini lumpuh selepas puluhan jalan ditutup dan ratusan rumah di 5 daerah dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih 15 jam sejak 2 petang semalam.
Hujan lebat dan angin kencang yang berlarutan sehingga 5 pagi tadi turut menyebabkan ratusan pokok dan beberapa kawasan dilanda tanah runtuh.
Hampir keseluruhan kawasan rendah di negeri itu dinaiki air setinggi 0.2m hingga 1m berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat dan bertembung fenomena air pasang di laut mengakibatkan limpahan air berlaku dengan pantas.
Setakat 6 petang tadi, seramai 3,365 mangsa banjir di Pulau Pinang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara banjir di 5 daerah dengan Seberang Perai Utara (SPU) kawasan paling teruk terjejas.
Angka korban kini meningkat kepada 6 orang termasuk 4 warga emas yang lemas dan seorang warga Bangladesh yang maut dihempap pokok.