SPRM tahan timbalan pengarah Jabatan Keselamatan Pekerjaan Johor

SPRM tahan timbalan pengarah Jabatan Keselamatan Pekerjaan Johor

Suspek disyaki menerima RM8,000 melalui seorang pegawai JKKP yang ditahan sebelum ini, sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat kejuruteraan petroleum.

SPRM-tahan-timbalan-pengarah-Jabatan-Keselamatan-Pekerjaan-Johor
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan timbalan pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) (Operasi) Johor kerana disyaki bersubahat dalam meminta serta menerima rasuah daripada seorang pengurus projek syarikat kejuruteraan petroleum.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, suspek berumur 47 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor kira-kira 11 malam tadi bagi membantu siasatan.

Susulan penangkapan itu, pasukan penyiasat menyerbu 3 lokasi berlainan di sini dan menjumpai wang tunai berjumlah RM40,400 dan S$1,613 serta merampas beberapa dokumen berkaitan projek berkenaan.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan siasatan, suspek disyaki menerima wang berjumlah RM8,000 daripada pengurus projek tersebut melalui seorang pegawai JKKP yang ditahan sebelum ini sebagai dorongan untuk tidak diambil tindakan terhadap syarikat itu yang memasang mesin angkat (Grip Hoist) tanpa kebenaran JKKP.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, suspek dihadapkan ke mahkamah pagi ini untuk permohonan reman.

Pada 31 Oktober lalu, seorang penolong pengarah JKKP Johor ditahan pada 2.40 petang di sebuah hotel di Johor Bahru kerana disyaki terlibat dalam kes meminta dan menerima rasuah berjumlah RM30,000 daripada pengurus projek itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.