Polis ambil keterangan Raja Petra di UK

Polis ambil keterangan Raja Petra di UK

Ketua polis negara berkata, pasukan penyiasat terdiri daripada 3 pegawai polis Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengambil keterangan penulis blog itu, Rabu lalu.

Mohd-Fuzi-Harun-Raja-Petra-Kamaruddin-police-question-1
KUALA LUMPUR:
Polis merakam keterangan Raja Petra Kamarudin susulan laporan polis dibuat Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mendakwa penulis blog itu memfitnahnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, keterangan Raja Petra diambil di United Kingdom (UK), Rabu lalu oleh pasukan penyiasat terdiri daripada 3 pegawai polis Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Ya, pasukan penyiasat telah merakam keterangannya,” kata Mohamad Fuzi ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selasa lalu, Apandi berkata, beliau akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Raja Petra, jika penulis blog itu enggan memohon maaf berhubung 2 artikel mengenai dakwaan rasuah.

Beliau juga dilaporkan berkata, tidak akan memberi masa lama kepada Raja Petra untuk berbuat demikian memandangkan isyarat dan ingatan sudah disampaikan melalui media.

Pada 22 Oktober lepas, Apandi membuat laporan polis terhadap Raja Petra atas dakwaan jenayah fitnah susulan 2 artikel itu yang disiarkan pada 20 dan 21 Oktober lalu oleh laman blog Malaysia Today.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.