
Presiden Umno itu berkata, isu itu direka pembangkang semata-mata mahu memburukkan beliau di mata masyarakat.
“Macam saya tidak bagi duit pada PAS sebab itu PAS saman Sarawak Report. Dia (pembangkang) dah menggelabah.
“Mana ada kita bagi. Tapi saya tidak boleh komen kes dalam mahkamah. Ini semua mengarut.
“Tapi dia masukkan (berita palsu) nak burukkan kita. Terlalu banyak ‘fake news’ di media sosial, kita kena betulkan,” katanya ketika berucap di depan lebih 3,000 tentera siber Umno sempena Konvensyen Media Sosial parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam program sama pagi tadi menyalahkan kegagalan tentera siber Umno menangkis fitnah kononnya Najib memberi RM90 juta kepada pemimpin tertinggi PAS, sehingga membawa kerosakan lebih besar.
Zahid berkata, tentera siber Umno sepatutnya segera menjalankan kajian untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih parah, sebaik sahaja pembangkang melemparkan dakwaan itu.
Katanya, persepsi masyarakat terhadap dakwaan itu membawa kesan amat merosakkan kepada Umno.
Sementara itu, Najib dalam ucapannya berkata, tentera siber pembangkang akan melemparkan fitnah berdasarkan persepsi semata-mata.
“Sebab mereka lempar tuduhan-tuduhan liar adalah mereka harap 2 atau 3 tuduhan itu akan lekat dekat kita, sebab dalam media sosial tidak perlu tunjukkan kebenaran, cukup sekadar persepsi semata-mata,” katanya.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London, pada 21 April lalu, terhadap satu artikel Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin atasan PAS sebagai usaha perdana menteri “menarik” kepimpinan parti Islam itu menyokong Barisan Nasional dan Umno.
Ahad lalu, media melaporkan Clare dalam tuntutan balas terhadap saman Hadi mendakwa beliau dan Ambiga ada bercakap mengenai Najib, 1MDB dan PAS pada Julai 2016.
“Ambiga memberitahu defendan sumbernya yang dikatakan boleh dipercayai, menganggarkan jumlah yang dibayar itu sekitar RM90 juta,” kata Clare dalam afidavitnya bertarikh 11 Oktober lalu.
Clare dalam pembelaannya menyenaraikan sekurang-kurangnya 10 pemimpin PAS dari kumpulan ulama yang didakwa menerima wang daripada dana disyaki milik 1MDB.
Editor Sarawak Report itu turut mendakwa Hadi berpakat dengan Najib atau ejennya untuk mengeksploitasi prosiding mahkamah di London dalam usaha melepaskan perdana menteri.
Beliau dilaporkan berkata, Hadi memfailkan saman itu bukan untuk melindungi imej sendiri, sebaliknya untuk melindungi reputasi dan tujuan politik PAS serta sekutu politiknya, Najib.