
Ahli Parlimen Sungai Petani daripada PKR, Datuk Johari Abdul berkata cara itu juga dapat mengurangkan harga pasaran rumah kerana tanah wakaf tidak mempunyai kos.
“(Contohnya) di Pulau Pinang ada banyak tanah wakaf dan sepatutnya kerajaan negeri mengambil kesempatan ini untuk membina rumah yang elok dan dijual dengan harga rendah mengikut harga yang dibina.
“Kalau nak untung pun mungkin setakat 10% sahaja kerana ia adalah tanah wakaf dan tuan tanah pun nak buat wakaf,” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Bajet 2018 yang disiarkan selama sejam di RTM1 malam tadi.
Turut bersama perbincangan ialah Ahli Parlimen Mersing dari Barisan Nasional, Datuk Abd Latiff Ahmad, yang juga pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Senada dengan Johari, Latiff berkata wakaf tidak menekankan konsep kewangan kerana ia adalah berasaskan dividen keuntungan akhirat.
“Orang yang membeli akan mempunyai satu aset dan dia boleh beli sehingga 30 tahun, 60 tahun, 90 tahun sebagai contoh, dan serah balik kepada mutawali iaitu orang yang menguruskan,” katanya.
Mengambil contoh Turki, Latiff berkata walaupun pembangunan di negara itu hanya 2.9% tetapi ia banyak menjalankan aktiviti wakaf termasuk mempunyai 40 universiti wakaf.
Dalam pada itu, Johari berkata kerjasama antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri harus seiring termasuk mencari kaedah terbaik membina rumah menggunakan material berkualiti pada harga berpatutan.
Katanya, kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri juga harus “berlumba” untuk menyelesaikan isu berkaitan rakyat khususnya isu perumahan supaya rakyat dapat menikmati kehidupan yang selesa.
Menyentuh mengenai pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat lepas, Johari berkata terdapat perkara yang dipersetujui dalam intipati bajet itu, namun ada juga yang disifatkan “kritikal” seperti kenaikan harga barang yang dilihat masih tidak dapat diatasi.
Bagaimanpun, Latiff berkata kos sara hidup adalah isu global dan ia tidak hanya melibatkan rakyat negara ini tetapi juga di negara lain.
“Tidak ada mana-mana kerajaan dalam dunia ini yang mampu mengawal harga barang… dan apa yang kerajaan bantu sebagai pengatur adalah berperanan untuk mengurangkan beban rakyat,” katanya.