
Akhbar Today Online memetik Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Agama Mohamed Ali sebagai berkata pihak berkuasa perlu mempertimbangkan langkah mengawal perjalanan ke luar negara yang diatur masjid dan pertubuhan Islam swasta untuk rakyat Singapura menghadiri kuliah penceramah asing.
Penolong profesor di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam itu berkata: “Saya boleh nampak pentingnya mempunyai sistem sedemikian, di mana anda perlu mendapatkan kelulusan sebelum membuat perjalanan sedemikian. Sama ada berkesan atau tidak, itu satu lagi persoalan.”
Laporan itu berkata seorang guru agama tempatan yang enggan dikenali bersetuju ia boleh menjadi penyelesaian tambahan untuk membendung akses kepada ajaran radikal atau ajaran eksklusivis.
“Barangkali, pihak berkuasa wajar mengkajinya. Dengan persekitaran semasa, terdapat keperluan untuk meneroka semua pilihan dan cuba membetulkan sebarang banyak kekurangan yang boleh,” kata guru agama itu.
Laporan itu berkata, pada masa ini, masjid dan institusi agama swasta tidak perlukan kelulusan daripada Majlis Agama Islam Singapura (Muis) untuk mengendalikan perjalanan sedemikian, yang sekali-sekali dijalankan.
Naib Pengerusi Kumpulan Bina Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) Geylang Serai, Allaudin Mohamed mempersoalkan keberkesanan langkah mengawal perjalanan luar negara untuk mengikuti ceramah.
“Kerajaan tidak boleh menghentikan orang ramai jika mereka mahu pergi ke luar negara,” katanya menurut laporan itu.
Sementara itu, Mohamed berkata Internet membolehkan orang ramai mendengar ceramah daripada penceramah tanpa perlu hadir secara fizikal di kuliah mereka.
Laporan itu berkata walaupun satu saluran dihalang, terdapat saluran lain – seperti media sosial dan YouTube – tersedia untuk pengikut mengakses ajaran daripada pelbagai penceramah.
Pada 30 Oktober lalu, pihak berkuasa Singapura melarang kemasukan 2 penceramah, Ismail Musa Menk yang lebih dikenali sebagai Mufti Menk dari Zimbabwe dan Haslin Baharim dari Malaysia kerana didakwa mempunyai pandangan yang boleh memecah-belahkan masyarakat.
Dua hari kemudian, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengarahkan pihak berkuasa agama melarang kedua-dua pendakwah itu mengadakan ceramah agama di negeri itu, sehari selepas Putrajaya berkata tidak akan menyekat mereka.
Wakil Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura memberitahu Today Online pendakwah dengan ajaran yang memecah-belah dan ekstrem tidak dibenarkan di Singapura “tanpa mengira agama yang mereka wakili”.
Baru-bari ini 2 pendakwah Kristian asing dilarang memasuki negara itu kerana mereka membuat kenyataan merendahkan agama lain.
Mereka juga sedang mengkaji kaedah mengetatkan proses bagi menghalang para pendakwah itu memasuki Singapura untuk menyebarkan ajaran mereka.
Muis berkata mereka “komited memastikan arahan dan panduan Islam untuk masyarakat Islam Singapura sesuai dan selaras dengan konteks dan nilai identiti orang Islam Singapura”.
Today Online juga melaporkan pada akhir Oktober, Mufti Singapura Dr Mohamed Fatris Bakaram mendesak umat Islam Singapura mempunyai minda yang kritikal dan selalu bertanya ketika mendengar ajaran Islam atas talian atau ketika melakukan lawatan kerja, belajar atau bersantai.