Teguran sultan ingatkan pemimpin jaga santun, kata BN Selangor

Teguran sultan ingatkan pemimpin jaga santun, kata BN Selangor

Penyelaras BN Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan gesa Dr Mahathir mohon maaf kepada Sultan Selangor dan seluruh keturunan Bugis.

Mat-Nadzari_mahathir_600
PETALING JAYA:
Teguran Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung ucapan yang dikatakan menghina keturunan Bugis dilihat tepat dan betul bagi mendidik ahli politik supaya menghormati keturunan berbeza, kata Barisan Nasional Selangor hari ini.

Penyelaras BN Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata teguran itu selaras dengan peranan raja Melayu kerana kenyataan Dr Mahathir itu bukan sahaja mengaibkan tetapi boleh memusnahkan tali silaturrahim antara keturunan.

“Teguran Tuanku tepat sesuai dengan amalan orang Melayu yang sentiasa santun dan menghormati orang lain,” kata Nadzari kepada FMT.

Terdahulu Dewan di-Raja Selangor berpandangan siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 atau apa jua undang-undang berkaitan wajar diambil terhadap Dr Mahathir kerana kenyataan yang menyentuh bangsa Bugis.

Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam kenyataan hari ini berkata, setelah berbincang dengan para ahli Dewan di-Raja Selangor, memandang serius, murka dan amat kecewa dengan petikan ucapan pengerusi Pakatan Harapan itu yang dilihat cuba menghasut rakyat untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.

“Berdasarkan rakaman klip video ucapan berkenaan yang telah tular di media sosial, tohmahan dan kenyataan Tun Dr Mahathir itu jelas menghina dan menggolongkan bangsa Bugis ini kononnya berasal usul dari golongan lanun, perompak dan penjenayah.

“Tohmahan ini secara tidak langsung menghina salasilah dan keturunan Kesultanan Selangor yang berasal dari Bugis,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, Nadzari menyarankan pengerusi Pakatan Harapan memohon maaf kepada Sultan Selangor dan seluruh keturunan Bugis.

“Sebagai seorang negarawan, tentu Tun maklum perkara ini sensitif. Tidak payah nak ajar atau dipaksa, Tun bukan budak hingusan yang tidak boleh fikir. Wajib dia perbetulkan kesilapan ini,” tambah Nadzari.

Dr Mahathir di tunjuk perasaan Sayangi Malaysia – Hapuskan Kleptokrasi di Padang Timur di sini 14 Oktober lepas membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai “keturunan lanun bugis”.

Kenyataan itu mengundang bantahan Persatuan Perpaduan Rumpus Bugis Melayu Malaysia, namun bekas perdana menteri menafikan beliau berniat menghina seluruh keturunan Bugis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.