
Mengulas laporan dibuat oleh ahli PPBM Johor kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) semalam, Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Abdul Rahman berkata parti itu sudah lama memutuskan untuk menangguh mesyuarat itu.
“Kita sudah mengadakan mesyuarat khas mengenai hal ini 2 bulan lalu di mana kita pastikan penangguhan itu dilakukan mengikut perlembagaan parti itu.
“Malah, kita sudah pun mendapatkan nasihat peguam tentang hal ini,” katanya kepada FMT.
Dalam laporannya kepada JPPM, ahli PPBM Johor mengadu tentang kegagalan parti itu untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan di peringkat cawangan, bahagian dan pusat.
Ketua Penerangan PPBM Kluang Arjuna Putra Ali dilaporkan berkata yang menurut Akta Persatuan 1967 dan Peraturan Persatuan 1984, parti itu sepatutnya mengadakan mesyuarat agung tahunan dalam masa setahun ia ditubuhkan, yang mana bermakna sebelum 9 September.
Sementara itu, Syed Saddiq berkata ahli yang terlibat dalam aduan itu bukan wakil bahagian parti itu.
“Mereka ahli yang tidak berpuas hati atas kegagalan parti melantik mereka untuk jawatan yang mereka lobi.
“Kami sudah bercakap kepada ketua bahagian dan ahli jawatankuasa. Mereka semua berkata mereka tidak tahu menahu tentang laporan yang dibuat,” he said.
Syed Saddiq juga secara tidak langsung mengatakan Umno mungkin sebalik perkembangan terbaru ini.
“Kami masih menerima laporan mengatakan tangan-tangan yang mencampuri hal di Perak, mereka dari Umno, adalah di sebalik perkara ini.
“Ini menunjukkan kebimbangan Umno kehilangan tempat kelahirannya, Johor, terutamanya susulan laporan mengatakan negeri ini mula beralih kepada Pakatan Harapan (PH).
“Mereka mahu melemahkan PPBM di negeri ini kerana mereka percaya PH tidak akan berpeluang (untuk menang) di sana tanpa PPBM. Tetapi itu tidak benar.”
Pada Mei tahun ini, 1,000 ahli PPBM Perak meninggalkan parti secara besar-besaran kerana tidak berpuas hati atas kebolehan kepimpinan presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Syed Saddiq mendakwa peletakan jawatan itu didalangi bekas timbalan presiden PPBM Datuk Hamidah Osman.
Hamidah bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan pada September lepas, beliau meninggalkan parti itu atas keengganan parti itu mengambil tindakan terhadap ketua pemudanya itu.
Apabila disoal mengapa PPBM memutuskan untuk menunda mesyuarat agung tahunan itu, Syed Saddiq berkata ianya kerana parti itu masih baru.
“Jadi, masih ada cawangan yang belum dibentuk.
“Selain itu, kami tahu pilihan raya umum bakal tiba, dan ini membenarkan penundaan itu,” katanya yang merujuk kepada pilihan raya umum yang harus diisytihar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum Jun 2018.