Putera Charles, Camilla tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi

Putera Charles, Camilla tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi

Pasangan diraja dijadual melawat pelbagai tempat di Kuala Lumpur, Perak, Sarawak dan Pulau Pinang sepanjang lawatan selama 7 hari dari 2 November hingga 8 November

Prince-Charles-malaysia
SEPANG:
Putera Wales, Putera Charles dan isteri Duchess Cornwall, Camilla, tiba hari ini bagi lawatan rasmi bersempena ulang tahun ke-60 hubungan 2 hala antara Malaysia dan United Kingdom (UK).

Pesawat tentera yang membawa pasangan diraja itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 6.45 petang dan ketibaan mereka disambut Menteri Pengiring Datuk Seri S.K Devamany, yang juga merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Turut hadir Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pesuruhjaya Tinggi British di Malaysia Vicki Treadell.

Putera Charles dan Camilla kemudian berjalan melintasi barisan kawalan kehormat statik.

Pasangan diraja itu dijadual melawat pelbagai tempat di Kuala Lumpur, Perak, Sarawak dan Pulau Pinang selain menyertai pelbagai acara penting sepanjang lawatan selama 7 hari dari 2 November hingga 8 November.

Putera Charles dan Camilla dijangka bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat Malaysia termasuk kerabat diraja, kanak-kanak kurang upaya dan komuniti perniagaan.

Pasangan diraja itu juga dijadual akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara serta menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Ini merupakan lawatan pertama pasangan diraja itu ke Malaysia.

Kerabat diraja British yang pernah melawat Malaysia sebelum ini ialah Ratu Elizabeth II dan Duke of Edinburgh bagi menghadiri upacara perasmian Sukan Komanwel Ke-16 di Kuala Lumpur pada 1998 dan Duke Cambridge, Putera William, dan isteri Duchess Cambridge, Kate Middleton, pada September 2012.

Hubungan 2 hala antara Malaysia dan United Kingdom meliputi pelbagai bidang termasuk perdagangan, pertahanan dan keselamatan, pelaburan, pendidikan, ekonomi digital, teknoloji hijau, tenaga boleh diperbaharui dan pelancongan.

Malaysia merupakan pasaran eksport ke-2 terbesar United Kingdom di ASEAN dan UK ialah rakan dagang ke-3 terbesar Malaysia di Eropah manakala dalam bidang pendidikan, kini terdapat lebih 18,000 rakyat Malaysia melanjutkan pelajaran di UK.

Lawatan pasangan diraja itu merupakan sebahagian daripada lawatan ke Singapura, Malaysia dan India dari 30 Oktober sehingga 9 November. Putera Charles dan Camilla memulakan lawatan di Singapura pada 30 Oktober. Selepas melawat Malaysia, mereka akan meneruskan lawatan ke India selama 11 hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.