Mesyuarat tak sentuh Velodrom Rakyat, kata badan induk dunia

Mesyuarat tak sentuh Velodrom Rakyat, kata badan induk dunia

Ahli Pengurusan Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa, Amarjit Singh Gill menafikan laporan kononnya badan induk dunia itu mengarahkan Velodrom Rakyat di Ipoh dirobohkan.

Amarjit-Singh-velodrom
PETALING JAYA: Seorang ahli Lembaga Pengurusan Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menafikan badan induk dunia itu mengarahkan perobohan Velodrom Rakyat di Ipoh.

Datuk Amarjit Singh Gill berkata, tiada perbincangan mengenai velodrom itu dalam mesyuarat Lembaga Pengurusan UCI di China, minggu lalu.

“Sebagai ahli Lembaga Pengurusan UCI, saya berada di sana sepanjang mesyuarat di Guilin dan saya boleh beritahu dengan jelas, langsung tiada perbincangan atau Velodrom Rakyat disebut dalam mesyuarat sehari itu,” katanya dalam kenyataan.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan UCI mengarahkan perobohan Velodrom Rakyat, yang baru selesai dibaik pulih dengan kos RM11 juta, kerana tidak menepati spesifikasi pembinaan ditetapkan mereka.

Akhbar itu melaporkan mesyuarat Ahli Lembaga Pengurusan Eksekutif UCI di Beijing, beberapa hari lalu mengeluarkan arahan itu selepas mendapati kontraktor gagal mematuhi status “homologation”.

“Homologation” adalah proses mengesahkan semua spesifikasi pembinaan memenuhi piawaian UCI. Velodrom Rakyat hanya boleh menganjurkan Acara Didaftarkan UCI selepas mendapat “homologation”.

Laporan itu memetik sumber yang rapat dengan kerajaan Perak mendakwa, UCI membuat keputusan itu selepas pegawainya melakukan pemeriksaan sebanyak 2 kali ke atas velodrom itu tahun ini dan masalah sama tidak diselesaikan kontraktor terbabit.

Menurut sumber itu, Amarjit dilaporkan berusaha mencari jalan menyelesaikan status “homologation” termasuk menemui Presiden UCI, David Lappartient di Switzerland bulan ini.

Mengulas lanjut, Amarjit yang juga naib presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mempersoalkan identiti sumber dipetik akhbar itu, serta bagaimana dan dari mana maklumat mengenai arahan perobohan itu diperolehi.

“Jika ada sebarang keputusan mengenai Asia, lebih-lebih lagi berkaitan Malaysia, saya orang pertama yang akan dimaklumkan dan dirunding. Tidak benar UCI MC memberi sebarang arahan mengenai perkara ini.”

Katanya, dalam satu mesyuarat anjuran Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya tahun lalu, PKBM dengan jelas menyatakan kontraktor dan pemaju perlu mencari jalan untuk memastikan “homologation” diberikan UCI.

Mesyuarat itu dihadiri Amarjit, Presiden PKBM, Abu Samah Wahab, Darshan Singh Gill, pembina trek dari Belanda, Sander Douma dan juga kontraktor berkaitan.

Mengenai isu “homologation”, Amarjit berkata, proses itu masih berterusan dan pegawai teknikal UCI dialu-alukan mengemukakan sebarang cadangan.

Mengenai kemungkinan acara basikal trek digugurkan daripada Sukan Malaysia (Sukma) di Perak tahun depan, beliau berkata, mana-mana acara basikal trek kebangsaan hanya memerlukan “homologation” PKBM.

“Oleh itu, tak timbul soal acara basikal trek Sukma 2018 digugurkan.”

Presiden Persatuan Berbasikal Perak (PCA) itu berkata, setahunya, trek dan kemudahan itu sudah siap, kecuali sistem pemasaan yang akan dipasang dan disiapkan bulan depan.

Amarjit berkata, PCA dalam mesyuarat bulan lalu meminta Kementerian Belia dan Sukan membenarkan trek itu digunakan untuk latihan pelumba Perak yang sudah dipersetujui secara dasarnya.

Tahun lalu, kementerian itu memberi peruntukan khas sebanyak RM11 juta untuk membaik pulih trek kayu sepanjang 250m yang rosak.

Velodrom Rakyat ialah velodrom pertama di negara ini yang dibina pada 1984 hasil sumbangan orang ramai dimulakan Darshan, selepas mendapat persetujuan bekas Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Gelanggang itu pernah menganjurkan beberapa kejohanan utama dunia seperti Piala Trek Dunia 2000, Kejohanan Berbasikal Dunia B 1997 serta Kejohanan Lumba Basikal Asia 1991.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.