
Beliau yang mengakui mempunyai hubungan baik dengan Mufti Menk berkata, penceramah itu belum menghubunginya susulan pengharaman itu.
“Saya baik dengan semua orang, tapi saya tak tahu sama ada dia (Menk) ada hubungan dengan Singapura dan saya tidak tahu asal-usul asas keputusan yang dibuat (Johor).
“Mufti Menk tidak ada hubungi saya mengenai perkara itu. Saya serahkan kepada kerajaan Johor untuk buat keputusan seterusnya,” katanya pada sidang media di luar Dewan Rakyat, hari ini.
Semalam, Sultan Johor dilapor mengarahkan pihak berkuasa agama melarang Mufti Menk mengadakan ceramah agama di negeri itu, sehari selepas Putrajaya berkata ia tidak akan menyekatnya.
Exco Johor, Abd Mutalip Abd Rahim dipetik Berita Harian berkata, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut mengharamkan penceramah tempatan, Haslin Baharim yang lebih dikenali sebagai “Ustad Bollywood”.
Langkah itu menyusuli tindakan kerajaan Singapura mengharamkan kedua-dua penceramah itu kerana menganggap pandangan mereka boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian kaum.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, pasti ada sebab Sultan Johor berbuat demikian.
“Ia bergantung kenapa dia (Menk), dia diharamkan pasti ada sebab. Pasti ada sebab rasional dan mungkin perkara itu saya tidak tahu,” katanya.