
Timbalan Ketua Setiausaha Amanah, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus mahu mahkamah mengeluarkan pengisytiharan yang pelantikan Raus sebagai hakim tambahan di bawah Perkara 122 (1A) Perlembagaan Persekutuan, tidak sah.
Beliau juga mahu pengisytiharan terhadap lanjutan khidmat Raus sebagai ketua hakim negara, salah di sisi undang-undang mengikut Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.
Peguam, Mohamed Hanipa Maidin berkata, anak guamnya mahu Raus menjelaskan di bawah kuasa apa beliau meneruskan jawatannya sebagai hakim tambahan dan ketua hakim negara.
“Kami tidak mencabar proses membuat keputusan terhadap pelantikan itu, tetapi hanya mempersoalkan kuasa Raus untuk mengekalkan 2 jawatan itu,” kata Hanipa yang juga ahli Parlimen Sepang.
Katanya, anak guamnya perlu mendapatkan kebenaran mahkamah sebelum merit kes itu didengar.
Pada 7 Julai lepas, kerajaan menerusi satu kenyataan media mengumumkan tempoh perkhidmatan Raus dilanjutkan untuk 3 tahun lagi mulai 4 Ogos lalu, sementara Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin akan kekal untuk 2 tahun mulai 28 September lalu.
Kedua-duanya dilantik sebagai ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan pada 1 April dan dijadualkan bersara pada 3 Ogos dan 27 September lalu, selepas mencapai usia persaraan mandatori iaitu 66 tahun 6 bulan.
Abang Ahmad berkata, Raus hanya boleh memegang jawatan ketua hakim negara jika beliau ialah hakim Mahkamah Persekutuan dan belum mencapai usia persaraan.
Katanya, beliau dinasihatkan peguam yang Raus tidak boleh dilantik semula untuk mengetuai badan kehakiman dengan menjadi hakim tambahan.
Beliau berkata, Raus hanya boleh disyorkan sebagai hakim tambahan oleh ketua hakim negara yang masih memegang jawatan.
Bekas ketua hakim negara, Tun Arifin Zakaria yang bersara pada 31 Mac lalu berkata, beliau mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan.
Pada 9 Ogos lalu, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut memfailkan semakan kehakiman untuk membatalkan pelantikan Raus dan menghalangnya menjalankan tugas kehakiman dan pentadbirannya.
Dr Mahathir juga mahu satu pengisytiharan yang 4 pentadbir tertinggi badan kehakiman, iaitu ketua hakim negara, presiden Mahkamah Rayuan, hakim besar Malaya serta hakim besar Sabah dan Sarawak, tidak patut dilantik daripada kalangan hakim tambahan.
Mahkamah Tinggi akan memutuskan pada 6 November ini sama ada kebenaran patut diberikan kepada Dr Mahathir untuk meneruskan tuntutan itu.
Majlis Peguam Malaysia turut memfailkan permohonan sama terhadap Raus dan Zulkefli, di mana pengurusan kes akan diadakan 9 November ini di depan Hakim Datin Azizah Nawawi.