
Perkembangan ini 6 hari selepas ulangtahun ke-30 memperingati peristiwa itu, yang merupakan serangan ISA ke-2 terbesar dalam sejarah sejak rusuhan 13 Mei 1969.
“Saya diberitahu tahanan diseksa. Saya menyesal tahanan Ops Lalang diseksa. Penyeksaan menyalahi undang-undang,” kata Dr Mahathir di blognya hari ini.
“Saya sanggup dipersalahkan walaupun penahanan itu bukan keputusan saya.”
Awal hari ini, bekas duta Dennis Ignatius dalam satu artikel di FMT menulis Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan menteri dalam negeri ketika itu mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk operasi itu. “Ketua polis negara masa itu hanyalah rakan subahat. Mengatakan sebaliknya adalah tidak jujur dan tidak ikhlas.”
“Dr Mahathir sekarang boleh akui kebanyakan mereka yang ditahan adalah orang baik-baik yang dia burukkan untuk tujuan politik tetapi itu belum memadai,” kata Dennis, menggesa Dr Mahathir meminta maaf kepada setiap dan semua tahanan atas ketidakadilan yang dikenakan ke atas mereka.
“Dr Mahathir hari ini, tentu sekali, bukan orang yang sama 30 tahun lalu. Dia kini sebahagian daripada perjuangan politik untuk perubahan, dan walaupun sukar untuk dia akui, dia sedang berusaha membetulkan kerosakan yang beliau sendiri lakukan ke atas negara kita.
“Saya harap dia berjaya menghadapi keadaan dengan melakukan apa yang betul,” kata Dennis.
Dr Mahathir hari ini berkata beliau sebenarnya berharap tidak perlu menahan sesiapa pun di bawah ISA semasa tempohnya sebagai perdana menteri.
“Saya bertanya kepada polis sama ada kita boleh lakukan tanpa ISA. Mereka tidak bersetuju, walaupun mengurangkan tempoh tahanan kepada 1 tahun.”
Beliau menambah tindakan pertama semasa menjadi perdana menteri adalah mengarahkan pembebasan 21 tahanan politik yang ditahan di bawah akta itu.
“Saya buat begitu kerana saya tidak suka penahanan tanpa bicara sejak Aziz Ishak ditahan,” kata Dr Mahathir, merujuk kepada Abdul Aziz Ishak, seorang aktivis Kesatuan Melayu Muda dan bekas menteri dalam jemaah menteri Tunku Abdul Rahman.
Aziz ditahan dari 1965 hingga 1966 semasa konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia atas tuduhan khianat dan bersubahat dengan ejen musuh, bersama pemimpin nasionalis Ahmad Boestaman dan Ishak Muhammad atau Pak Sako.
“Orang ditahan bawah ISA semasa pentadbiran ketiga-tiga perdana menteri sebelum saya. Mereka tidak dibebaskan atas arahan perdana menteri,” kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir tahun ini sekali lagi dikritik kerana enggan memohon maaf di atas peristiwa Ops Lalang, yang berlatarkan pertembungan antara 2 kumpulan berbeza dalam Umno ketika itu – Dr Mahahir dan gandingan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam – dan isu pelantikan kakitangan berbangsa Cina yang bukan lepasan sekolah Cina di sekolah aliran Cina, dan himpunan balas Pemuda Umno membantah boikot oleh pengkritik pelantikan itu.
Gabungan pembangkang yang dipengerusikan beliau, Pakatan Harapan, turut dibidas kerana didakwa sedia melupakan siapa yang menjadi dalang sebalik penangkapan itu.
Antara tahanan ISA yang terkenal ialah Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang, Timbalan Pengerusi DAP Karpal Singh, Naib Presiden MCA Chan Kit Chee, Ketua Pemuda PAS Halim Arshat, Ahli Parlimen Umno Pasir Mas Ibrahim Ali dan Exco Biro Pendidikan Pemuda Umno Mohamed Fahmi Ibrahim.
Selain Kua, yang menjawat jawatan ketua publisiti Jawatankuasa Hak Sivil pada masa itu, turut ditahan ialah Pengerusi Dong Jiao Zong (Persatuan Pendidikan Cina) Lim Fong Seng dan ahli Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Irene Xavier.
Dr Mahathir turut memuatnaik 2 video yang memaparkan bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar dan cendekiawan Chandra Muzaffar menjelaskan peristiwa Ops Lalang.