
“Tiada siapa yang berfikiran waras mahu ke suatu tempat yang tidak kondusif untuk tinggal.
“Dan sangat gila untuk memindahkan tentera tanpa menyediakan rumah sebab mereka yang pergi ke sana tidak akan mengundi kita. Secara logiknya, ia langsung tak masuk akal,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bangunan Memorial Tun Hussein Onn kepada Jabatan Arkib Negara Malaysia, hari ini.
Menteri pertahanan itu mengulas kenyataan Adun Mengkibol, Tan Hong Pin yang meminta beliau dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan mengapa anggota tentera dan pasangan mereka didaftarkan di sebuah pangkalan tentera di Segamat, Johor yang masih dalam pembinaan.
Beliau berkata, pangkalan tentera itu hanya dijadualkan siap pada April 2018, tetapi 1,051 pengundi tentera sudah didaftarkan di kawasan itu.
Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong pula berkata, isu itu memberi kesan kepada negara dan mendakwa kem tentera itu dibina untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).
Katanya, Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Ke-3 2017 yang sedang dipamerkan menunjukkan pendaftaran 1,079 anggota tentera dan pasangan mereka di kawasan P140 Segamat dan N02 Jementah.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,051 pengundi didaftarkan di Kem Segamat dan 28 lagi di Rejimen 501 Askar Wataniah Kem Segamat.
Mengulas lanjut, Hishammuddin meminta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menjawab dakwaan itu lebih lanjut bagi mengelakkan ia menjadi isu politik.
“Saya akan serahkan pada panglima angkatan tentera (untuk menjawab dakwaan pendaftaran anggota tentera) sebagai pengundi di kem-kem ini,” katanya.
DAP: Mengapa pengundi didaftar di pangkalan tentera belum siap?