
Malah, kata timbalan perdana menteri, kerajaan sentiasa memantau aktiviti dijalankan Zakir di negara ini dan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadapnya jika beliau terbabit dengan aktiviti keganasan.
“Kerajaan tidak memberi layanan istimewa kepada Zakir seperti mana yang diuar-uarkan.
“Sepanjang berada di negara ini, beliau tidak melanggar undang-undang dan peraturan, oleh yang demikian tiada alasan dari segi peruntukan perundangan untuk menahan atau menangkap beliau,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Zahid menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengenai rasional kerajaan memberi layanan istimewa kepada Zakir, sedangkan beliau melarikan diri daripada siasatan polis dan pendakwaan di India.
Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, kerajaan tidak menerima permintaan rasmi daripada kerajaan India berhubung pendakwaan itu.
Beliau berkata, tiada rekod Zakir mengemukakan permohonan kewarganegaraan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
April lalu, Zahid mengesahkan Malaysia memberi taraf penduduk tetap kepada Zakir 5 tahun lalu, ketika Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjadi menteri dalam negeri antara 2009 hingga 2013.
Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) sebelum ini memohon Interpol mengeluarkan notis merah ke atas Zakir bagi menghalang beliau keluar dari Arab Saudi, selepas berulang kali ingkar memberi kerjasama terhadap siasatan ke atasnya.
Zakir yang merupakan penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 2013, disiasat pihak berkuasa India atas dakwaan pengubahan wang dan jenayah berkaitan keganasan.
Pada 27 Oktober lalu, The Times of India melaporkan NIA membuat pendakwaan terhadap Zakir kerana mengetuai “persatuan menyalahi undang-undang” dan menghasut orang muda bertindak ganas serta menyertai kumpulan global seperti IS.
NIA berkata, Zakir “sengaja menghina” kepercayaan Hindu, Kristian, dan aliran Islam seperti Syiah, Sufi dan Barelvi, selain ucapannya mempengaruhi rekrut kepada perjuangan IS.
NGO yang diasaskan Zakir, Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) dan sebuah firma, Harmony Media Pvt Ltd, juga didakwa dalam kertas pertuduhan yang dilihat TOI.
IRF yang diharamkan kerajaan India pada 2016, didakwa berkomplot dengan Zakir untuk mempromosi permusuhan dan kebencian antara kumpulan agama berbeza, selain menghina agama berbeza dan aliran Islam bercanggah dengan aliran Wahabi.