
Ketua Ekonomi dan Pasaran Modal KWSP Nurhisham Hussein berkata demikian di forum kendalian iMoney.my yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini. Turut menyertai wacana itu Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian; Pengarah Institut Pulau Pinang di Kuala Lumpur Ong Kian Ming; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan iMoney Lee Ching Wei.
“Saya akan katakan begini: Ringgit terkurang nilai, tetapi tidak terkurang nilai seperti yang kebanyakan orang ramai sangkakan. Jangkaan kasar saya ialah sekitar 5%-7%. Jadi, dari mana kita berada sekarang, saya rasa kita patut berada pada paras RM4.00 berbanding dolar AS berbanding RM4.20-RM4.30.
“Aspek lain ialah sebahagian besar pergerakan itu daripada dolar AS dan bukan kerana ringgit sahaja. Adakah 1MDB beri kesan? Ya, ada beri kesan, tetapi tidak kekal lama. Saya rasa, secara kasar selama kira-kira 9 bulan, secara kasarnya sekitar waktu artikel Wall Street Journal keluar dan gangguan tindakan sivil, dan ia ada beri kesan pada masa itu setakat selidikan saya, tetapi selepas itu tidak.
“Saya rasa isu terbesar pelabur asing terhadap ringgit sekarang ini ialah mereka takut pada BNM,” katanya, dan bersetuju dengan celahan Ong yang mengatakan kerana ada perubahan pada dasar kawal selia BNM.
“Mereka melihatnya sebagai satu risiko kawal selia – mengatasi perkara lain – dan kerana itu mereka berhati-hati membeli aset ringgit.”
Nurhisham berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pengguna Facebook yang bertanyakan sama ada isu 1MDB membawa kepada kejatuhan ringgit dan masih melemahkan ringgit. Pandangan itu tidak dibantah ahli panelis lain.
Mencelah pertanyaan mengenai kesan kejatuhan ringgit pada harga barangan, Nurhisham menjelaskan kenaikan harga barang bukan kerana nilai ringgit semata-mata, tetapi lebih kepada kenaikan harga global barangan berkenaan.
“Ia mahal untuk semua orang bukan sahaja untuk rakyat Malaysia. Kita boleh perincikan, kalau kamu tengok Indeks Harga Pengguna terperinci, kamu akan nampak harga susu naik, telur naik,makanan laut naik, ayam tidak naik, daging lembu naik.”
Beliau berkata sebahagiannya juga kerana pembangunan pesat di China dan India – 2 negara kuasa ekonomi dengan jumlah penduduk yang besar – dalam 15 tahun kebelakangan ini.
“Rakyat mereka yang keluar daripada paras kemiskinan mengubah pemakanan mereka lalu memberi tekanan kepada bekalan makanan…jadi ini isu global, bukan sahaja di Malaysia.
“Kalau anda perhatikan harga barangan import secara terperinci, secara puratanya hampir tiada kenaikan pada harga barangan import. Jadi ianya bukan inflasi import, tetapi hakikatnya komoditi itu sendiri yang meningkat.”