
Presidennya, Datuk Raja Zulkepley Dahalan bimbang agensi haram akan mengambil kesempatan daripada dasar baharu itu dan seterusnya menyebabkan peningkatan dalam aktiviti pemerdagangan manusia.
“Kamu tidak boleh pergi ke negara lain dan membuat apa yang kamu mahu, meminta rakyat mereka menjadi pembantu rumah kamu. Apa akan berlaku jika mereka menipu kamu? Siapa yang akan bertanggungjawab?” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas pengumuman perdana menteri ketika membentangkan Bajet 2018, Jumaat lalu, kerajaan membenarkan majikan mengambil pembantu rumah asing secara langsung dari 9 negara sumber tanpa melalui ejen.
Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata, majikan juga boleh memohon visa pembantu rumah dari Jabatan Imigresen secara dalam talian dengan bayaran levi dan yuran pemprosesan mengikut kadar sedia ada.
Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kos mengambil amah asing dari 9 negara sumber tanpa melalui ejen boleh dikurangkan sehingga 50% berbanding kos keseluruhan membawa masuk pembantu rumah antara RM12,000 hingga RM18,000 yang perlu ditanggung majikan ketika ini.
Mengulas lanjut, Raja Zulkepley berkata, ada 3 isu yang perlu diselesaikan kerajaan untuk memastikan dasar itu berjaya.
“Pertama, mereka perlu mendapatkan kelulusan kedutaan asing dan bayaran lebih murah untuk mendapatkan pembantu rumah.”
Katanya, bayaran untuk mengambil pembantu rumah dari Indonesia ditetapkan RM9,500 hingga RM10,000, Filipina ialah RM6,300 dan Kemboja antara RM5,500 hingga RM6,000.
“Persoalan sebenar ialah adakah kerajaan boleh mengurangkan harga pasaran tetap kepada 50%.”
Beliau berkata, isu ke-2 ialah keperluan membanteras aktiviti pemerdagangan manusia dan agensi haram.
Katanya, dasar baharu itu akan menyenangkan ejen haram kerana mereka tidak perlu bersaing dengan ejen sah dan tindakan berkenaan akan menggalakkan lebih banyak pemerdagangan manusia.
“Ke-3, mereka perlu mencari jalan untuk mempermudahkan proses pengambilan pembantu rumah daripada 2 hingga 3 bulan ketika ini kepada 2 hingga 3 minggu.”
Beliau berkata, proses itu rumit kerana ia membabitkan 4 entiti berbeza – Jabatan Buruh, Jabatan Imigresen, kedutaan berkaitan dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).
“Jika kerajaan dapat mencari penyelesaian kepada isu itu, maka saya tiada apa hendak dikatakan. Tetapi, saya rasa itu adalah mustahil tanpa bantuan agensi pekerjaan,” katanya sambil menggesa kerajaan mengadakan mesyuarat dengan agensi pekerjaan bagi membincangkan isu berkenaan.