
Setiausaha Agung Asosiasi Perusahaan Jasa Tenaga Kerja Indonesia, Kausar N Tanjung berkata pihaknya dan agensi lain di negara itu tidak dimaklumkan mengenai dasar baharu itu serta tiada perbincangan antara kedua-dua negara.
“Kita tidak diberitahu. Kami sangat terkejut dengan polisi baru yang diumumkan kerajaan Malaysia.
“Sebagai sebuah agensi tenaga kerja di Indonesia, sekiranya ada perbincangan, kita boleh memberi nasihat kepada kerajaan Malaysia mengenai langkah sesuai berhubung perkara itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerja Malaysia (Pikap) hari ini.
Beliau mengulas pengumuman dasar itu menerusi pembentangan Bajet 2018 oleh Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat lalu yang membenarkan majikan mengambil pekerja asing dan pembantu rumah dari 9 negara sumber secara terus tanpa melalui ejen.
Perdana menteri berkata, majikan juga boleh memohon visa pembantu rumah dari Jabatan Imigresen secara dalam talian dengan bayaran levi dan yuran pemprosesan mengikut kadar sedia ada.

Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kos mengambil amah asing tanpa melalui ejen boleh dikurangkan sehingga 50% berbanding kos keseluruhan antara RM12,000 hingga RM18,000 yang perlu ditanggung majikan ketika ini.
Mengulas lanjut, Kausar berkata, dasar baharu itu menimbulkan lebih banyak masalah berbanding menyelesaikan masalah, termasuk kebajikan serta keselamatan pembantu rumah tidak terjamin.
“Masalah timbul misalnya mengenai gaji mereka dan keselamatan mereka siapa yang akan jaga. Apakah kesediaan Malaysia? Ini jadi persoalan.”
Beliau berkata, pihaknya dan wakil agensi pekerjaan lain di Indonesia sedia berbincang dengan kerajaan Malaysia mengenai pelaksanaan dasar baharu itu.
“Saya fikir penyelesaiannya kita sarankan duduk sama sekali untuk berbahas mengenai polisi ini.
“Jika tidak agensi tenaga kerja di Indonesia susah untuk lepaskan pembantu rumah mereka ke Malaysia berikutan takut mendatangkan masalah di kemudian hari,” katanya.